Mazlan terluka dengan perkembangan PAS hari ini

| .

KUALA SELANGOR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman mengakui beliau terluka dengan perkembangan dalam PAS hari ini.

Sehubungan itu, beliau akan membuat keputusan dalam masa terdekat sama ada menerima keputusan pemilihan muktamar atau sebaliknya.

Ini katanya bagi memberi tumpuan kepada NGO yang dipimpinnya iaitu Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang diluluskan pendaftarannya oleh ROS baru-baru ini.

"Saya tak mahu berpolemik, saya nak buat kerja kerana pembelaan terhadap rakyat lebih penting," tegasnya ketika berucap pada sesi penggulungan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS Ke-61 hari ini.

Ini ekoran kenyataan awalnya yang dimuatkan dalam facebook beliau semalam.

Menurutnya, buat tempoh tertentu, beliau mahu menumpukan perhatian terhadap NGO Anak yang mempunyai pejabat baru di Ukay Perdana.

"Memperkasa organisasi dan menangani isu FGV serta kebajikan warga Felda adalah fokus utama. Ia disentuh dalam Ucapan Dasar Presiden PAS , Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang," katanya.

Tambah Mazlan, sungguh pun komitmen terhadap NGO Anak akan diteruskan, kemelut dalaman parti telah memberi kesan yang mendalam terhadap dirinya.

" Sebagai manusia biasa dan penglibatan dalam PAS sejak tahun 1986, situasi ketika ini paling mencabar dan menuntut kesabaran yang tinggi. Apatah lagi ramai rakan akrab puluhan tahun berjuang dan berkorban telah tewas dalam pemilihan.

"Saya amat sedih dengan suasana ini dan mengganggu emosi saya. Ia detik yang sukar; kepada Mu Ya Allah, hamba Mu memohon pertolongan," luahnya. - HARAKAHDAILY 6/6/2015

Share on Myspace