Hanipa menangis kenang Almarhum Syed Mohamad

| .

KUALA SELANGOR: Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin tidak dapat meneruskan perbahasan pada sesi penggulungan di Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-61 hari ini.

Mengimbau kenangan beliau dengan seorang individu, Allahyarham Syed Mohamad Syed Hassan yang banyak menolong para peguam PAS, beliau tidak dapat menahan sebak dan terus menangis.

"Selepas pilihan raya semua orang meraikan kemenangan tetapi kami bersengkang mata mengutip segala bukti untuk membuat petisyen.

"Pada tahun 2004 dua minggu kami berkurung di (Markas Tarbiyah PAS Pusat) Taman Melewar yang bantu kami Syed Mohamad, tolong buat kopi, fotokopi bahan, tidur dan mandi di...,"katanya sambil mengesat air mata.

Pengerusi Tetap Husin Ismail meminta Hanipa mengambil masa untuk berucap dan Hanipa kelihatan cuba mengawal emosi namun beliau gagal untuk meneruskan ucapan.

Ketua Pemuda PAS Malaysia Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kemudiannya membawa sekotak tisu dan diberikan kepada Hanipa.

Lantas Hanipa mengambil beberapa helai tisu dan mengesat air matanya.

Terdahulu, beliau bangga dengan penghargaan PAS pusat terhadap kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mengetuai lajnah guaman.

"Saya bangga, platform ini banyak bantu pemimpin parti dan parti itu sendiri. 3/4 pemimpin diwakili oleh Lajnah Guaman PAS apabila berdepan dengan mahkamah,"katanya sambil menambah menyifatkan Peguam PAS perlu kesabaran yang tinggi.- HARAKAHDAILY 6/6/2015

Share on Myspace