PAS disaran dekati pekerja MAS yang dibuang kerja

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA SELANGOR: Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Anuar Tahir menggesa parti itu perlu segera mendekati pekerja syarikat penerbangan Sistem Penerbangan Malaysia (Mas) yang dibuang kerja.

Katanya, selepas muktamar pemimpin yang baru dilantik perlu menemui mereka bekas pekerja MAS untuk berbincang mencari jalan penyelesaian.

"Kita ketinggalan dalam isu pekerja MAS di waktu kita bermuktamar, enam ribu kakitangan MAS hilang pekerjaan mereka.

"Kita harap pengerusi lajnah ini perlu dilantik dengan segera agar permasalahan mereka dapat kita dengari dan jalan penyelesai kita perolehi," ucap beliau pada sesi penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini.

Tambah beliau, selain isu pekerja MAS yang dibuang pekerja, kakitangan Proton yang menghadapi masalah yang sama juga memerlukan perhatian daripada PAS.

Beliau yang turut mengakui sehingga sekarang pencapaian Lajnah Pekerja dan Pengguna belum mencapai pada tahap yang boleh dibanggakan.

"Pencapaian belum boleh kita anggap dibanggakan, masih banyak yang perlu kita lakukan.

"Saya mahu mereka yang dipilih untuk mengetuai lajnah ini perlu mengeratkan lagi hubungan antara PAS dengan persatuan pengguna.

"Kita perlu dengar luahan mereka dalam segala permasalah yang hadapi sekarang ini," katanya lagi.

Menurut beliau melalui hubungan dengan persatuan pengguna di seluruh negara dan secara tidak langsung segala isu membabitkan pekerja dapat diselesaikan. - HARAKAHDAILY 6/6/2015

Share on Myspace