Mat Sabu akan letak jawatan dalam kerajaan P Pinang

SALMIYAH HARUN | .

KUALA SELANGOR: Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan melepaskan semua jawatan dalam syarikat milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata, keputusannya itu sebagai satu tindakan patuh kepada kepimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat yang menggesa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP.

"Minggu ini saya akan letak jawatan sebagai Pengurus Syarikat Air Pulau Pinang.

"Saya mulakan terhadap diri saya. Nanti saya dikata tidak patuh pada Ulamak," katanya yang turut dikuti tepukan gemuruh para perwakilan, pemerhati dan media pada sesi penggulungan Muktamar PAS Tahunan PAS ke-61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor, petang ini.

Mohamad dilantik sebagai Pengurus Air Pulau Pinang dan Pengerusi Halal Hub dalam syarikat milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas DAP berjaya memerintah negeri itu pada PRU12 lalu.

Terdahulu, beliau sebagai Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi NGO PAS Pusat menasihatkan kepimpinan baru agar mengadakan hubungan erat dengan badan-badan bukan kerajaan.

"40 peratus di kalangan anak muda Malaysia memilih NGO. Tanpa sokongan NGO sukar untuk kita capai kemenangan dalam pilihan raya," katanya. - HARAKAHDAILY 6/6/2015

Share on Myspace