Saya bukan nak membela diri - Dr Hatta

SALMIYAH HARUN | .

KUALA SELANGOR: Bekas Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli mengambil peluang membersihkan namanya ekoran tuduhan terhadapnya untuk menjatuhkan Presiden PAS.

Ketika menggulung perbahasan pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 di sini hari ini, beliau memberitahu individu yang menuduhnya itu tidak pernah menghadirkan diri apabila dua kali dipanggil oleh jawatankuasa siasatan.

"Selepas empat bulan, akhirnya jawatankuasa ini yang dibentuk memanggil penuduh. Panggil Ketua Pemuda PAS Kuantan dan saya untuk mendapatkan maklumat bagi penyiasatan.

"Jadi bila tak datang buat kali kedua, keputusan (siasatan) tergantung," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Beliau berkata, individu berkenaan tidak hadir kerana tidak yakin pada enam orang jawatankuasa siasatan.

Pada 8 Februari lalu, kumpulan yang dianggap penyokong Presiden PAS berkumpul di depan Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur dan mengadakan bantahan terhadap gerakan yang didakwa mahu menjatuhkan Ahli Parlimen Marang berkenaan.

Bagaimanapun Hatta turut menasihati ahli parti agar tidak mudah percaya dengan laporan melalui aplikasi WhatsApp.

"Mungkin perkara tersebut tidak benar hanya melalui WhatApp. Saya bukan nak membela diri atau apa-apa.

"Saya cuma nak minta jangan terlalu teruja dengan WhatsApp. Dah la yang jadi admin (pentadbir) kumpulan WhatsApp saya tak kenal. Jadi terpulang kalau nak teruskan lagi (menuduh), teruskan," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 6/6/2015

Share on Myspace