Kepercayaan ini adalah amanah berat

HARAKAHDAILY | .

MUKTAMAR Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kali ke-61 sudah melabuhkan tirainya dalam suasana penuh keinsafan dengan laungan takbir membesarkan Allah SWT yang menjadi teras perjuangan Harakah Islamiyah PAS ini.

Tema perhimpunan ribat 'amilin kita kali ini, 'Beristiqamah Sehingga Kemenangan' menepati sunnahtullah perjuangan Harakah Islamiyah yang penuh dengan tribulasi (mehnah) sebagai ukuran untuk memenuhi standard penilaian mukhlisun disisi Allah SWT.

Dalam keadaan dunia Muslim hari ni yang berhadapan dengan kesan-kesan penjajahan serta cabaran perang psikologi mutakhir ini, Presiden kita Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang komited memberi kefahaman sebenar definisi kemenangan mengikut kehendak Al-Quran itu sendiri.

Kita sudah lama terperangkap dalam maksud 'kemenangan' mengikut acuan Barat. Liciknya bahasa psikologi (psychological linguistic) mereka ini membawa umat Islam sendiri sesat dalam menentukan syarat dan penilaian tentang kemenangan itu sendiri.

Menyedari realiti yang telah disebutkan, sebagai ahli Jemaah Islam PAS, kita wajib beriltizam dan berusaha memperkukuh dan mempersiapkan kualiti 'kemenangan' khususnya dalam perjalanan ke arah jihad Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).

Dengan izin Allah SWT, bantuan dan ilham daripada-Nýa insya Allah, Dewan Muslimat PAS Pusat cuba untuk menterjemah tema ini dalam usaha melunaskan tanggungjawab kepimpinan bagi sesi kali ini, 2015-2017.

Pada kesempatan ini, saya mewakili barisan kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menzahirkan ucapan terima kasih diatas kepercayaan para perwakilan memberi amanah kepimpinan kepada kami semua.

Sesungguhnya Allah SWT juga Maha Mengetahui betapa beratnya kami menerima tanggungjawab ini. Namun, menginsafi keperluan tanggungjawab ini, marilah kita terus berdoa supaya saf kepimpinan DMPM kali ini sentiasa dipimpin oleh Allah SWT dalam membawa jemaah ini mendapat kejayaan didunia dan diakhirat.

Insya Allah, DMPM berhasrat untuk membuka ruang diskusi dalam usaha memahami tema muktamar kali ini melalui program sulung DMPM, 'Roadshow Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS' peringkat DMPM.

Akhirnya, mewakili saf kepimpinan DMPM serta seluruh ahli muslimat PAS Malaysia khususnya, kami menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang di atas pemergian isteri beliau Almarhumah Puan Sri Nur Yvonne Abdullah kelmarin. Semoga Allah SWT merahmati roh Almarhumah, Allahumma amiin. - HARAKAHDAILY 7/6/2015

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia sesi 2015-2017

Share on Myspace