Berlaku adil terhadap Harakah - Nasrudin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Harakah terus gah di persada media tanah air.

Muktamar Tahunan PAS ke-61 menyaksikan aspirasi baru MyHarakah dilancarkan bersama Kad Keahlian Istiqamah untuk pelanggan setia Harakah.

"Detik berdepan cabaran dan saingan media baru di alam digital, Harakah tidak pernah mengalah untuk terus menongkah arus demi mengangkat syiar perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS," ujar AJK PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Sungguh, katanya Harakah juga tidak sunyi dari suara-suara kritikan di sepanjang pelayaran di alam pemberitaan.

Namun, ujar beliau Harakah terus mengemudi bahteranya dengan tenang sambil mengambil kira segala kritikan dan membuat perubahan demi perubahan serta peningkatan demi peningkatan berasaskan teguran dan kritikan yang dilemparkan.

Justeru, beliau mengharapkan Harakah terus maju.

Semua warga Harakah yang terdiri dari Ahli Lembaga Pengarah, wartawan dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak, beliau ucapkan agar terus sabar dan tabah mendepani karenah dari pelbagai pihak termasuk lawan dan kawan.

Ahli Parlimen Temerloh itu percaya segala yang dilalui akan terus mematang dan mendewasakan Harakah dan pastinya Harakah tidak akan lekang dek panas dan lapuk dek hujan.

"Mudah-mudahan Harakah akan terus hidup, namun saya juga mengharapkan agar semua pihak dapat berlaku adil terhadap Harakah yang tidak sedikit jasa mereka mengangkat risalah perjuangan kepada umum," ujarnya.

Tambahnya, tanpa pembaca istiqamah tentu sahaja lah Harakah tidak akan berada pada tahap ini.

"Selayaknya, kemahuan kita yang mahu melihat Harakah itu hebat mestilah diiringi dengan sokongan hebat kita pula kepada Harakah," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 7/6/2015

Share on Myspace