Presiden PAS lawat situasi gempa bumi Sabah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini melawat situasi gempa bumi yang melanda Sabah, Jumaat lepas.

Beliau berlepas ke Kota Kinabalu malam tadi setelah MuktamarTahunan PAS ke-61 yang berlangsung di Stadium Tertutup Kuala Selangor berakhir petang semalam.

Mengiring belau ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan timbalannya, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan setiausaha politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam lawatan itu, beliau turut memberi sumbangan kepada Masjid Pekan Ranau yang terkesan dengan gempa bumi.

Nik Abduh dalam satu kenyataan melahirkan rasa simpati terhadap penduduk Ranau dan beberapa tempat di bahagian Sabah yang mengalami gempa bumi pada 6.1 skala Ritcher itu.

Katanya, kejadian itu sudah pasti menggemparkan masyarakat seluruh negara kerana ia adalah gegaran paling kuat melanda negara sejak 1976. Rekod tertinggi ketika itu adalah pada 5.8 skala Ritcher yang telah melanda bahagian Lahad Datu, Sabah.

Beberapa kejadian gempa bumi juga telah melanda beberapa kawasan di Sabah sejak 2011 seperti di Kundasang pada 2.9 skala Ritcher, Timur Keningau pada 3.0 skala Ritcher (Disember 2012) dan begitu juga Kudat pada 3.6 skala Ritcher (Julai 2013) dan beberapa kawasan yang lain.

Justeru, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menasihati penduduk di kawasan-kawasan berkenaan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga disebabkan keadaan yang masih belum stabil di samping terus berdoa supaya keselamatan diri dan keluarga terus terjamin.

"Dewan Pemuda PAS juga akan dikerahkan bagi menyalurkan segala bantuan yang diperlukan mangsa gempa bumi tersebut dengan harapan dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung mangsa ketika ini," ujarnya. - HARAKAHDAILY 7/6/2015

Share on Myspace