Tuhan tentu lebih suka kalau kita menang - DHPP

| .

KUALA SELANGOR: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menggesa saf kepimpinan PAS sesi 2015-2017 agar memberi perhatian terhadap amalan fitnah, label-melabel dan tidak menepati janji.

Ketuanya, N. Balasubramaniam berkata, ahli dan pimpinan PAS mesti bersatu dan tenaga kerja ulama dan profesional mesti digabungkan bagi melawan musuhnya iaitu Umno BN.

"Gerak kerja yang tersusun pastinya amat ditakuti oleh musuh kita iaitu Umno BN.

"Meskipun Umno BN itu musuh kita tetapi jika mereka lebih bersatu dan bekerja secara tersusun, tentunya mereka berhak untuk menang pilihan raya dan PAS pula akan terus mengalami kekalahan walaupun di pihak yang benar," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan di Muktamar Tahunan PAS Pusat Ke-61 semalam.

Beliau juga bimbang ahli dan pimpinan PAS tidak bersatu hati dan tidak berjaya membina persepsi yang baik dalam kalangan pengundi hingga menyebabkan kekalahan.

"Apabila mengalami kekalahan, saya tak pasti apakah benar Tuhan akan redha.

"Saya bimbang Tuhan tidak redha  dengan kekalahan itu kerana kekalahan kita itu mungkin kerana kita tidak bersatu hatoi atau kita tidak berjaya membina persepsi yangbaik di kalangan pengundi," katanya lagi.

Berucap dengan penuh semangat, beliau juga berkata, kemenangan PAS dalam pilihan raya umum akan datang akan memudahkan kerja-kerja membasmi penyelewengan wang negara.

PAS bersama Pakatan Rakyat katanya boleh menyelamatkan wang Petronas, wang KWSP, Tabung Haji dan lain-lain daripada diselewengkan.

"Tuhan tentu lebih suka kalah kita menang sebab dengan kemenangan kita bersama Pakatan Rakyat, kita boleh buat banyak perkara yang Tuhan suka.

"Dengan kemenangan PAS, ulama-ulama boleh mengajar di masjid dan surau tanpa gangguan seperti di Pulau Pinang dan Selangor.

"Bila dapat mengajar di masjid, orang pun ramai yang jadi baik dan faham Islam," katanya. - HARAKAHDAILY 7/6/2015

 

Share on Myspace