Jiwa besar atasi hati terguris masa pemilihan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Muktamar telah selesai. Masa untuk kita mengorak langkah ke hadapan," ujar bekas Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat.

Justeru, katanya berilah kepimpinan ruang masa untuk mereka menterjemah segala aspirasi dan hala tuju mereka.

"Sementara kita ahli bawahan mestilah mengukuhkan setiakawan dan ukhuwwah yang telah lama terjalin," kata beliau menerusi laman facebook.

Pemilihan kali ini walau mengguris hati dan perasaan banyak pihak, namun beliau yakin ia mampu diatasi dengan jiwa besar untuk terus maju ke hadapan.

Menurutnya, masih terdapat banyak ruang untuk terus menyumbang khidmat bakti untuk Islam.

Namun beliau tetap pertegaskan, PAS jangan sama sekali diurus dengan emosi kerana kesannya amat buruk untuk survival jangka panjang.

"Mungkin hari ini kita berseronok dengan kejayaan emosi kita, namun kita bakal mematikan usaha PAS untuk mengorak langkah ke hadapan," ujarnya.

Tamahnya, setiap tindakan mesti berasas ilmu, bukan sekadar hukum tetapi juga berkait ilmu hal ehwal semasa yang lain.

"Jangan kita menjadi menang sorak kampung tergadai," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 7/6/2015

Share on Myspace