Hubungan PAS dengan rakan PR di Selangor macam biasa

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Datuk Iskandar Abdul Samad menegaskan bahawa hubungan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat di Selangor masih berjalan seperti biasa.

Naib Presiden PAS itu berkata, hubungan tersebut sama ada di dalam atau luar kerajaan mesti diteruskan seperti biasa.

Justeru, katanya ahli-ahli PAS di dalam kerajaan mesti terus menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka.

"Semua exco, Ahli Dewan Negeri, ahli majlis, ketua kampung, nazir masjid dan pengerusi surau dan kakitangan-kakitangan sokongan daripada PAS mesti bertugas seperti biasa," ujarnya yang juga Exco Kerajaan Selangor dalam satu kenyataan.

Beliau berharap penjelasan itu dapat menjawab beberapa persoalan yang timbul di Selangor sehubungan usul Dewan Ulamak pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 yang berakhir semalam.

Tambahnya, usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP itu belum lagi diluluskan.

"PAS Selangor yakin pandangan dan pengalaman kami akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat," ujarnya.

Setakat ini, jelas beliau Selangor dapat ditadbir dengan cemerlang hasil kerjasama erat kesemua parti-parti Pakatan Rakyat. - HARAKAHDAILY 7/6/2015

Share on Myspace