Tidak terpilih istiqamah bantu parti capai kemenangan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Semua calon yang bertanding dalam pemilihan sempena Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor kelmarin hakikatnya memperolehi kemenangan.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, mereka yang telah terpilih itu mendapat kepercayaan para perwakilan mewakili ahli PAS dari seluruh negara bagi memikul amanah untuk memenangkan Islam.

Tambahnya, manakala mereka yang tidak terpilih pula tetap menjadi harapan agar terus istiqamah menggalas amanah membantu parti hingga mencapai kemenangan perjuangan.

"Kerana hakikatnya, kekalahan hanyalah untuk golongan yang merasa tidak senang dan tidak mahu melihat kejayaan serta kemenangan Islam," ujarnya dalam satu kenyataan.

Pada ketika ini, katanya yang tidak senang dengan agenda dan perjuangan Islam dibawa PAS adalah DAP.

Beliau berkata, setiap hari pimpinannya menyerang PAS, termasuk masuk campur hal ehwal pemilihan PAS.

Menruutnya, DAP semakin angkuh dan hanya mahu melihat PAS seperti 'lembu dicucuk hidung'.

"Insya Allah, kepimpinan baru PAS akan terus melangsungkan amanah perjuangan Islam," tegasnya.

PAS, ujarnya akan kekal beristiqamah menegakkan syariah Islam di bumi Malaysia selaras Perlembagaan Persekutuan hingga mencapai kemenangan menumbangkan kezaliman Umno BN.

PAS juga, kata beliau komited berpegang kepada janji diikat dalam tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat dan menghormati perbezaan yang wujud serta mengakui realiti kemajmukan rakyat negara ini. - HARAKAHDAILY 7/6/2015

Share on Myspace