1MDB: Jho Low guna USD260 'projek utopia'?

| .

 

AKHBARThe Edge 5 Jun 2015 telah mendedahkan hasil penyiasatannya mengenai skandal 1MDB di bawah tajuk “How Jho Low used USD260 million of 1MDB’s cash to buy UBG in 2010.” Berikut adalah satu analisis mengenai penemuan-penemuan penting dari penyiasatan The Edge itu.

“Projek Utopia”

Pada 1 Disember 2009, Casey Tang, Pengarah Eksekutif 1MDB telah menghantar emel kepada Patrick Mahony memperkenalkan Nik Faisal Ariff Kamil, Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB yang baru dilantik kepada beliau. Nik Faisal Ariff Kamil juga bekerja dengan UBG sebagai Pengarah Eksekutif Pelaburan. Kebetulan pula, Jho Low adalah pemegang saham penting UBG dan seorang ahli lembaga pengarahnya. Jadi, bolehlah disebut Nik Faisal ini “orang Jho Low.”

Soalan yang timbul ialah: Pertama, apakah muslihatnya beliau bekerja di dua buah syarikat dalam masa yang sama?  Kedua, apakah muslihatnya masa beliau diambil bekerja dengan 1MDB itu pula berbetulan dengan masa Petrosaudi International sedang merancang untuk mengambil alih UBG?  Ketiga, apakah muslihatnya orang yang bekerja di UBG yang pemegang saham pentingnya ialah Jho Low ditempatkan di 1MDB?Penyiasatan The Edge merungkai persoalan-persoalan ini.

Dalam emel  1 Disember 2009 itu Casey Tang memaklumkan bahawa Nik Faisal akan bekerja dan berurus terus dengan Patrick Mahony dalam perkara-perkara berkaitan bajet termasuk bajet sebanyak USD170 juta yang diperuntukkan untuk merealisasikan “Projek Utopia,” nama sulit (codename) bagi pengambilalihan UGB oleh Petrosaudi International melalui syarikat Javace Sdn. Bhd., sebuah syarikat dikawal Jho Low.

Perlantikan Nik Faisal ke 1MDB nampaknya “luar biasa” kerana beliau diberi tugas khusus, iaitu, “menolong” memuktamadkan pengambilalihan syarikat UGB oleh Petrosaudi International.  Untuk menjayakan misi ini, beliau perlu berhubung dan berurus terus dengan Patrick Mahony. Tugas Nik Faisal ialah “mencari wang” dan sasaran sumbernya ialah 1MDB dan pinjaman bank. 

Siapakah Patrick Mahony?  Dia adalah Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Petrosaudi Ltd., sebuah syarikat usahasama milik 1MDB (40%) dan Petrosaudi International (60%). 1MDB, sebuah syarikat daulat Malaysia, telah membeli 1,000,000,000 unit saham di dalam 1MDB Petrosaudi Ltd pada harga USD1.0 bilion, iaitu USD1.00 se saham dengan bayaran tunai. Syarikat Petrosaudi International pula memiliki 1,500,000,000 saham di dalam 1MDB Petrosaudi Ltd.  Modal berbayar syarikat ialah USD2.5 bilion. Tidak diketahui samada pemindahan wang sebanyak USD1.0 bilion dari Malaysia ke luar negara itu mendapat kebenaran Bank Negara Malaysia atau tidak.

Setelah diperkenalkan, Patrick Mahony terus menghubungi Nik Faisal Ariff Kamil. Pada 17 Disember 2009. Patrick Mahony menghantar emel kepada Nik Faisal Ariff  Kamil memaklumkan kepada beliau bahawa syarikat 1MDB Petrosaudi kekurangan wang sebanyak USD120 juta. 1MDB Petrosaudi Ltd memerlukan USD420 juta: USD50 juta untuk modal kerja, USD200 juta untuk membeli kapal carigali  dan USD170 juta lagi untuk membeli syarikat UBG. Yang ada hanya USD300 juta, iaitu, baki dari  USD1.0 bilion yang disuntik ke 1MDB Petrosaudi Ltd oleh  1MDB pada 29 September 2009.

Di atas kertas disebut 1MDB Petrosaudi Ltd memerlukan USD170 juta untuk membeli UBG. Tetapi hakikatnya, ia tidak membeli UBG. Sebaliknya, yang membeli UBG akhirnya ialah Petrosaudi International dan sebahagian dari pembiyaannya datang dari 1MDB dan bakinya dari pinjaman bank. Tiada pembiayaan dari Petrosaudi International sendiri.

UBG adalah sebuah syarikat konglomeret tersenarai (Bursa Malaysia) yang mempunyai kepentingan dalam pelbagai bidang perniagaan termasuklah perbankan. Ia dikatakan dikuasai oleh keluarga Taib Mahmud, bekas Ketua Menteri dan sekarang Yang Dipertua Negeri Sarawak. Umum mengetahui keluarga ini ingin menjual kepentingannya di dalam UBG dan sedang mencari pembeli berpotensi. Dilaporkan sekurang-kurangnya sudah datang tiga lamaran tetapi semuanya tidak menjadi. Dalam bulan Januari 2010 datang lamaran dari PetroSaudi International Ltd yang sanggup membeli kepentingan keluarga Taib Mahmud di dalam UBG pada harga tawaran USD130 juta. Projek pengambilalihan UBG ini dikenali dengan nama sulit “Projek Utopia.” Nampaknya dengan “bantuan” dana dari 1MDB dan pembeli dari Arab Saudi, akhirnya keluarga Taib Mahmud berjaya mencairkan pelaburannya dalam UBG.

Dana Tambahan Diperlukan

Kemanakah perginya wang USD700 juta? 1MDB Petrosaudi Ltd ada berhutang sebanyak USD700 juta dengan Petrosaudi International, pemegang saham majoritinya (60%). Sebaik sahaja perjanjian usahasama dimeterai dan 1MDB menyuntikkan tunai, 1MDB Petrosaudi Ltd telah membayar balik kesemua hutang itu kepada Petrosaudi International. Baki yang tinggal ialah USD300 juta. Walau bagaimanapun, kesemua wang USD700 juta  itu kemudiannya didapati telah dipindahkan ke dalam akaun syarikat Good Star Ltd (Seychelles), sebuah syarikat dikawal Jho Low membayangkan Petrosaudi International dan Jho Low berkait.

 Perkara-perkara lain yang disebut oleh Patrick Mahony di dalam emel beliau kepada Nik Faisal Ariff Kamil termasuklah:

  • Cadangan supaya syarikat 1MDB menambahkan lagi suntikan dana ke dalam 1MDB Petrosaudi Ltd.
  • Jho Low telah bersetuju dengan cadangan itu tetapi membangkitkan isu: sesegera manakah suntikan ini boleh dilaksanakan? Ini adalah kerana dana berkenaan diperlukan segera. 
  • Meminta Nik Faisal memberi maklumbalas kepada beliau (Mahony) mengenai: Apakah justifikasi yang boleh digunakan oleh 1MDB untuk menambah suntikan dana ke dalam 1MDB Petrosaudi Ltd itu pada kadar segera?
  • Meminta Nik Faisal membincangkan hal suntikan dana tambahan dari 1MDB kepada 1MDB Petrosaudi Saudi dengan Jho Low.
  • Mengingatkan Nik Faisal bahawa kecuali 1MDB menyuntikkan dana ke dalam syarikat 1MDB Petrosaud Ltd, kekurangan wang yang dialaminya tidak mungkin dapat diatasi.

Dengan pertukaran emel di atas maka bermulalah langkah untuk merealisasikan rancangan sulit mengambilalih UBG. Akhirnya, Petrosaudi International, melalui Javace Sdn. Bhd., sebuah syarikat dikawal Jho Low dan berbekalkan wang tunai USD260 juta milik 1MDB dan RM700 juta dari pinjaman bank, telah berjaya mengambilalih UBG. Sebelum pengambilalihan, Jho Low memang sudah pun menjadi pemegang saham penting UBG dan seorang ahli lembaga pengarahnya.

Nota Mudharabah Patuh Syariah

Apakah instrumen kewangan yang digunakan oleh 1MDB Petrosaudi Ltd untuk mendapatkan wang tunai tambahan daripada 1MDB?

Patrick Mahony, Nik Faisal dan Jho Low kelihatan telah “bersekongkol” mengatur  terbitan Nota Mudharabah Patuh Syariah oleh 1MDB Petrosaudi Ltd yang akan dipegang sepenuhnya oleh 1MDB. Mereka berurus terus dengan penasihat kewangan dan undang-undang dalam usaha mempercepatkan penerbitan surat hutang berkenaan. Akhirnya, “Nota Mudharabah Patuh Syariah” bernilai USD500 juta diterbitkan dan “diberikan” kepada 1MDB untuk ia pegang sebagai “tanda” bahawa 1MDB ada memberi pinjaman wang kepada 1MDB Petrosaudi Ltd.

Pada ketika urusan di atas dimuktamadkan, 1MDB sudah tidak memiliki apa-apa saham di dalam 1MDB Petrosaudi Ltd. Oleh itu, status 1MDB adalah sipemberi pinjaman kepada 1MDB Petrosaudi Ltd., bukan sebagai pelabur atau pemegang saham. Hairan, kenapa dengan begitu mudah lembaga pengarah 1MDB meluluskan pinjaman itu. Atau, lembaga pengarah 1MDB tidak tahu apa-apa mengenainya.

Bilakah dana dipindahkan? Pada 6 September 2010, 1MDB telah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia untuk memindahkan wang USD500 juta  kepada 1MDB Petrosaudi Ltd bagi “pembelian” Nota Mudharabah Patuh Syariah (yang kedua?) oleh 1MDB.  Kelulusan itu dilaporkan tertakluk kepada beberapa syarat.  Akhbar The Edge melaporkan bahawa  pegawai-pegawai eksekutif syarikat 1MDB Petrosaudi Ltd dan peguam-peguamnya telah membangkitkan bahawa beberapa perkara yang terkandung di dalam surat kelulusan BNM itu tidak sama dengan terma-terma yang terkandung di dalam perjanjian mudharabah yang telah dimeterai.

Alison Weal dari firma guaman White and Case (London) telah mengutus emel kepada Timothy Buckland, ketua pegawai undang-undang 1MDB Petrosaudi Ltd dengan rungutan: “Akhirnya, apa yang kelihatan telah terjadi ialah maklumat yang dihantar kepada Bank Negara adalah tidak betul dan kelulusan yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia adalah berasaskan maklumat yang tidak betul itu.” (“Ultimately, it would seem that the information to Bank Negara was flawed, and any approval will only be as good as the underlying documents.”).

Persoalannya ialah apabila maklumat yang dikemukakan oleh 1MDB kepada Bank Negara Malaysia berbeda dengan peruntukan-peruntukan di dalam perjanjian mudharabah, pegawai-pegawai eksekutif 1MDB sepatutnya menghentikan pemindahan wang berkenaan kepada 1MDB Petrosaudi Ltd sehingga perkara-perkara yang bercanggah itu dibetulkan? Tiada tanda-tanda hal ini telah dilakukan.

Pada 14 September 2010, lapan hari selepas kelulusan BNM diperolehi, 1MDB, melalui Ambank Berhad, telah mengirim USD500 juta ke akaun 1MDB Petrosaudi Ltd di JP Morgan Swisse, Switzerland. Kemudian, pada hari berikutnya (15 September 2010), wang sebanyak USD300 juta (dari jumlah USD500 juta itu), telah dipindahkan pula ke akaun peribadi Tarek Obaid (Ketua Eksekutif Petrosaudi International) di bank yang sama (JP Morgan Swisse).  Dari akaun peribadi Tarek Obaid ini, sejumlah USD260 juta telah dikirim balek ke Malaysia, ke akaun Javace Sdn Bhd., di cawangan Ambank Berhad di Menara Dion, Kuala Lumpur.  Javace Sdn Bhd., syarikat dikawal Jho Low telah digunakan sebagai “syarikat tonggangan” bagi Petrosaudi International membuat tawaran awam bagi mengambilalih UBG.

Siapakah dia Tarek Obaid ini?  Tarek Essam Ahmad Obaid ialah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ltd., rakan usahasama 1MDB di dalam 1MDB Petrosaudi Ltd.  Beliau seorang ahli perniagaan berpengalaman luas dengan kepentingan di dalam perkhidmatan kewangan, teknologi dan hartanah. Tidak diketahui samada beliau ada hubungan kekeluargaan dengan keluarga diraja Saudi atau tidak. 

IMDB Batalkan Pelaburan

1MDB menarik balik pelaburannya di dalam syarikat usaha sama 1MDB Petrosaudi Ltd berkuatkuasa pada 31 Mac 2010. Walau bagaimanapun,  dana tunai sebanyak USD1.0 bilion yang ia telah suntikkan ke dalam syarikat usahasama itu pada 29 September 2009 tidak dipulangkan kepada 1MDB dalam bentuk tunai.  Sebaliknya, 1MDB “dibayar” dalam bentuk Nota Mudharabah Patuh Syariah bernilai USD1.2 bilion (termasuk “keuntungan” USD200 juta).

Bersama-sama dengan Nota Mudharabah Patuh Syariah (yang kedua?) bernilai USD500 juta, 1MDB telah memberi pinjaman sebanyak USD1.7 bilion (hampir RM6 bilion atau 14.3% dari jumlah hutang 1MDB)) kepada 1MDB Petrosaudi Ltd., sebuah syarikat yang tiada lagi kena mengena dengan 1MDB.  Ini menjadi salah satu sebab ia kekeringan mudah tunai.

Soalan untuk Lembaga Pengarah

Berdasarkan penemuan-penemuan daripada penyisatannya, akhbar The Edge membangkitkan dua persoalan: Pertama, sedarkah ahli-ahli lembaga pengarah dan pemegang saham 1MDB bahawa sebahagian besar dari wang berjumlah USD500 juta milik 1MDB telah digunakan untuk mengambilalih UGB? Kedua, sedarkah ahli-ahli lembaga pengarah dan pemegang saham 1MDB bahawa Nik Faisal Ariff Kamil, Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB yang baru sahaja dilantik dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang, kelihatannya telah “bersekongkol” dengan Jho Low dan Patrick Mahony dalam mendapatkan 1MDB menyalurkan dana miliknya  ke 1MDB Petrosaudi Ltd, kemudian ke akaun peribadi Tarek Obaid dan akhirnya ke Javace Sdn. Bhd. yang kemudiannya digunakan untuk merealisasikan rancangan sulit mengambilalih UBG?

Dengan wang tunai telah tersedia di dalam akaun bank, maka pada 29 September 2010, Petrosaudi International, melalui Javace Sdn Bhd, membuat tawaran awam untuk membeli saham-saham UBG dengan harga RM1.4 bilion atau RM2.50 se saham. Bagaimanakah Javace Sdn Bhd membiayai pembelian berkenaan? Javace Sdn Bhd telah memperolehi pinjaman berjangka disindiket berjumlah RM700 juta dari dua buah bank, iaitu, AmBank Berhad dan OCBC (M) Berhad dan selebihnya, dari USD260 juta yang telah dikreditkan ke dalam akaun Javace Sdn Bhd. Pada bulan September 2010.

Wang USD260 juta itu asalnya milik 1MDB. Nampaknya, “Permuafakatan” di antara “orang-orang yang sejaringan” (termasuk pegawai eksekutif 1MDB dan “orang Jho Low” yang “ditanam” di dalam 1MDB) dengan orang yang berkepentingan dalam “Projek Utopia” telah memungkin dan memudahkan wang milik 1MDB disalurkan untuk memuktamadkan “projek Utopia” itu. Ada penganalisis menyebut “Projek Utopia” adalah satu “projek menyelamat” (bailout) dan 1MDB penyelamatnya. - HARAKAHDAILY 8/6/2015

 

 

 

Share on Myspace