Bulan ke-6 baru dengar bunyi hon kereta api

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Masuk bulan keenam penduduk yang tinggal tidak jauh daripada landasan kereta api di sini mulai mendengar bunyi hon kenderaan tersebut.

Sebelum ini laluan itu sunyi sepi. Langsung tidak kedengaran gerabak kereta api melintas. Malah selepas bah besar surut akhir Disember lalu ada mangsa banjir yang membina khemah di tepi landasan.

Namun dua minggu lepas penduduk di Kampung Manek Urai Lama yang terjejas teruk akibat tsunami Sungai Lebir tidak lagi kesunyian.

“Jeritan” dari kepala kereta api sudah kedengaran memecah kesunyian pagi. Gerabak kereta api dilihat mengangkut pekerja bagi membaiki landasan dan stesen kreta api yang rosak.

Di Manek Urai stesen kereta api hanya tinggal tapak. Begitu juga di Kemubu dan Bertam Baru. Paling terjejas jambatan kereta api menghubungkan Bertam Baru dengan Kemubu yang tinggal separuh.

Separuh lagi jambatan kereta api kini terbenam di dasar Sungai Galas. Ketika rombongan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob melalui melintasi landasan di Kampung Kemubu minggu lepas, keadaan jambatan itu kekal tidak berubah.

Namun kerja-kerja membaiki landasan dan stsen kereta api kelihatan rancak dijalankan antara Kemubu-Kuala Krai.

Beberapa gerabak kereta api yang ditenggelami air bah sudah ditarik dari Stesen Dabong Mac lepas.

Seorang penduduk memberitahu kerja-kerja menimbun batu di tepi landasan kereta api sedang dijalankan di sekitar Manek Urai.

“Ketika banjir besar akhir Disember lepas batu-batu yang menguatkan landasan kereta dihanyutkan arus deras,” katanya di sini semalam.

Pada Januari lalu Kementerian Pengangkutan menganggarkan kos sebanyak RM360 juta diperlukan untuk membaik pulih perkhidmatan keretapi di Kelantan dan Pahang yang musnah akibat bencana banjir.

Kerja-kerja membaik pulih landasan kereta api mengambil masa setahun dibahagi kepada empat pakej iaitu Kuala Krai-Kemubu, Kuala Krai-Gua Musang, Bertam Baru-Lipis dan Bertam Baru-Kemubu.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata dijangka kerja baik pulih itu akan siap dalam tempoh 12 bulan melibatkan kerja baik pulih landasan, jambatan runtuh, stesen keretapi rosak dan membaiki lokomotif serta gerabak.

Kerja-kerja baik pulih fasa pertama landasan di Kuala Krai, Manek Urai, Dabong dan Kemubu dijangka membabitkan kos RM200 juta. - HARAKAHDAILY 8/6/2015

Share on Myspace