Rumah sudah siap mangsa banjir enggan pindah

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: “Kami sudah siapkan sebanyak 10 rumah kekal di Desa Rahmat, Machang malangnya mangsa banjir tidak mahu tinggal di situ, sebaliknya mereka ingin kembali ke tapak asal.

“Hanya seorang yang tinggal di kediaman baru diberi percuma kerajaan negeri, sebaliknya sembilan keluarga lagi balik semula ke tepi sungai.

“Inilah masalahnya sekarang. Sebaliknya ada pihak pula menuduh kerajaan negeri tidak menyediakan penempatan kepada mereka. Apa yang berlaku rumah sudah siap mereka enggan duduk pula,” kata Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Dr Wan Zawawi Wan Ismail.

Beliau berkata antara alasan mereka penempatan baru jauh dari tempat kerja.

Pada Februari lepas kerajaan negeri menyerah kunci 10 unit rumah kekal kepada mangsa banjir yang dipindahkan dari Temangan.

Rumah mereka sebelum ini yang dibina menumpang di tanah milik orang lain dan rezab sungai rosak sama sekali akibat banjir akhir tahun lepas.

Dr Wan Zawawi juga berkata PKINK membelanjakan RM2 juta bagi membantu mangsa-mangsa banjir hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO). - HARAKAHDAILY 8/6/2015

Share on Myspace