PAS kini berada di landasan yang betul

DR MOHD ZUHDI MARZUKI | .

Selepas Muktamar Tahunan ke-61 yang berlansung di Kuala Selangor, Selangor, minggu lepas, PAS kini berada di landasan yang betul dalam usaha untuk membangunkan semula peradaban Islam di Malaysia.

Saf kepimpinan PAS yang baru merupakan mereka yang begitu iltizam untuk membawa negara dan masyarakat Malaysia bernaung di bawah keadilan sistem kehidupan Islam. Demi mencapai tujuan ini, PAS akan mengimbangkan tiga aspek utama iaitu tarbiyah, dakwah dan siasah.

Dalam konteks ini, Presiden PAS menjadi orang terpenting mengemudi PAS kembali ke landasan sebenar, yang kemudian disambut secara besar-besaran oleh perwakilan muktamar.

Terdapat empat petunjuk penting yang memperlihatkan PAS berada di landasan yang betul:

1. PAS kini semakin mendapat kembali kepercayaan pengundi-pengundi Melayu khususnya di kalangan generasi muda, sebagaimana yang dipaparkan dalam Pilihan raya Kecil Rompin baru-baru ini. Segmen pengundi Melayu adalah segmen terpenting untuk dikuasai oleh mana-mana parti atau gabungan kerana mereka adalah teras politik Malaysia, malah faktor kestabilan politik Malaysia terpenting.

2. PAS semakin membina kekuatan sendiri untuk menembusi dua lagi segmen pengundi, iaitu segmen pengundi bukan Melayu dan segmen pengundi bumiputera bukan Islam Sabah dan Sarawak. Peranan yang dimainkan oleh Dewan Himpunan PAS (DHPP) menjadi semakin penting, di samping PAS mula meneroka hubungan persefahaman dengan kaum peribumi Sabah dan Sarawak. Tidak mustahil PAS akan mula meletakkan calon di kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu yang menjadi kerusi tradisi DAP hari ini.

3. PAS semakin bersedia untuk menghadapi senario politik Malaysia yang sedang menuju kepada sistem pelbagai parti (multi parties system) seperti yang sedang berlaku di kebanyakan negara-negara membangun. Diyakini dalam beberapa tahun mendatang tiada parti atau gabungan yang boleh membentuk kerajaan yang stabil tanpa sokongan parti atau gabungan yang lain. Dalam konteks Malaysia, situasi ini menjadi lebih rencam disebabkan ada dua lapis kerajaan, iaitu kerajaan negeri dan kerajaan persukutuan. Oleh sebab itu, PAS seharusnya menjadi parti yang bersikap terbuka kepada semua pihak sesuai dengan 'Islam sebagai rahmat kepada semua'.

4. PAS semakin menguasai teknologi terkini terutama teknologi media dan teknologi maklumat yang merupakan faktor dominasi politik masa kini. Saf kepimpinan baru PAS didukung oleh golongan profesional yang mempunyai kepelbagaian latar belakang dalam bidang Sains dan Teknologi, bukan hanya mereka yang berlatar belakangkan profesion perundangan.

Menyedari hakikat tersebut, seluruh ahli PAS diseru untuk merapatkan ukhuwah dan memperkukuhkan iltizam untuk bersama saf kepimpinan baru yang akan memberi fokus kepada gerak kerja sehingga ke akar umbi masyarakat, bukan sekadar menumpukan kepada isu.

PAS akan menjadi sebuah gerakan Islam yang lebih terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi mencapai matlamat perjuangan Islam dan maslahah rakyat.

Pendek kata, para pendukung PAS perlu bersiap sedia untuk bersama saf kepimpinan baru untuk menjadikan PAS sebagai pencatur utama (king maker) kepada politik Malaysia. - HARAKAHDAILY 9/6/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat.

Share on Myspace