Banjir: Kelantan siap bina 80 rumah kekal

| .

 

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sehingga 1 Jun lepas menyiapkan pembinaan 28 rumah kekal kepada mangsa banjir dan bukannya 12 buah, kata anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Rumah terbabit iaitu dibina melalui peruntukan Tabung Amanah Bencana Negeri sebanyak 14, Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) – sebuah dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) - 13.

Rumah dibina PKINK diduduki sejak Februari lepas disiapkan dalam tempoh sebulan. Manakala sebanyak 52 lagi dibina badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Abdul Fattah berkata jumlah rumah kekal yang sudah siap dibina di bawah kerajaan negeri dan NGO sehingga awal Jun lepas sebanyak 80, manakala 338 lagi sedang dalam pembinaan.

Katanya rumah yang sedang dibina dikendalikan Tabung Amanah Bencana Negeri sebanyak 74 unit, Maik (144), PKINK (5), kerajaan Selangor (30) dan NGO (85).

Manakala peringkat pra pembinaan Tabung Amanah Bencana Negeri (46), Maik (93), kerajaan Selangor fasa kedua (30) dan NGO (117).

“Jumlah rumah kekal dalam tindakan yang siap dan sedang dibina di bawah kerajaan negeri dan NGO sebanyak 704 unit,” katanya.

Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Seri Mustafa Mohamed sebelum ini mengakui kerajaan pusat sehingga kini hanya menyiapkan 11 rumah kekal.

Abdul Fattah juga berkata sebanyak 30 lagi rumah kekal di Simpang Tiga Kampung Manek Urai Baru akan diserah kunci kepada mangsa banjir pada 17 Jun ini.

Katanya, rumah tersebut dibina kerajaan Selangor bagi fasa pertama di kawasan seluas hampir tujuh ekar.

Selain itu 17 lagi rumah kekal di Kampung Kolam Mas, Batu Papan dan Tanah Putih yang dibina kerajaan negeri dijangka dapat diduduki menjelang bulan puasa ini. - HARAKAHDAILY 9/6/2015

Share on Myspace