Persatuan teksi harap isu teksi uber dibahas di parlimen

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) berharap isu aplikasi tempahan teksi dalam talian 'Uber' yang didakwa merupakan ancaman terhadap perkhidmatan teksi tempatan dibincangkan di Parlimen bagi mencari jalan penyelesaian.
    
Pengerusinya Amran Jan mendakwa kewujudan aplikasi Uber menyebabkan industri perkhidmatan teksi negara dipenuhi lambakan teksi haram yang tidak terkawal dan menutup pintu rezeki atau pendapatan pemandu teksi.
    
"Operasi perkhidmatan Uber ini telah melanggar beberapa akta dan peraturan berkaitan pengangkutan awam darat termasuk penggunaan kenderaan persendirian sebagai teksi dan pemandu yang tidak memiliki lesen dan kad pemandu yang dikeluarkan atau diluluskan oleh SPAD (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
    
Amran turut menyerahkan satu memorandum kepada Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad yang mencadangkan isu itu dibawa dalam bentuk usul di Dewan Rakyat.
    
Katanya perkhidmatan teksi Uber juga berbahaya dan berisiko tinggi kerana menurutnya kenderaan yang digunakan tidak dilengkapi insurans yang sesuai bagi pelindungan penumpang.
    
Amran berharap anggota Parlimen memandang serius cadangan berkenaan dalam memastikan industri perkhidmatan teksi terus dilindungi daripada diceroboh oleh perkhidmatan Uber.
    
Beliau juga mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diperuntukkan bidang kuasa yang lebih luas bagi membanteras aplikasi Uber dan berharap SPAD dapat membatalkan lesen Kenderaan Sewa Persendirian (PHV) bagi menjaga industri perkhidmatan teksi negara.    
    
Uber merupakan satu perkhidmatan teksi persendirian yang kini beroperasi di seluruh dunia secara dalam talian dengan hanya boleh diakses menggunakan aplikasi di telefon pintar.
    
Perkhidmatan itu dikatakan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai kerana menawarkan caj yang lebih murah dan mesra pelanggan berbanding perkhidmatan teksi awam. - BERNAMA

Share on Myspace