Azmin beri jaminan PR terus laksana amanah rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memberi jaminan Pakatan Rakyat (PR) akan terus melaksana tanggungjawab melunaskan amanah rakyat.

Katanya, tiga komponen PR masih teguh di Selangor, bahkan PKR komited merungkai kemelut yang sedang melanda rakan komponennya, PAS dan DAP di peringkat pusat.

“PKR punya tanggungjawab besar pastikan Pakatan terus kuat. Ini peranan yang dimainkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dan akan diteruskan demi kepentingan negara dan rakyat," katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Katanya, beliau sendiri di peringkat negeri ingin melihat PR terus kukuh.

“Memang ada pandangan berbeza tetapi selaku wakil rakyat, kita punya tanggungjawab besar memenuhi aspirasi rakyat yang memilih Pakatan dalam pilihan raya,” katanya dipetik Selangor Kini.

Katanya, usul Dewan Ulamak PAS menuntut memutuskan hubungan dengan DAP tidak sewajarnya dimanipulasi berikutan belum dimuktamadkan di peringkat tertinggi parti Islam itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pimpinan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada agenda besar membangunkan negeri dan kebajikan rakyat.

“Kita berada di Selangor atas sokongan kuat rakyat yang ingin Pakatan mentadbir negeri. Sokongan ahli parti sahaja belum tentu membolehkan kita mampu membentuk kerajaan.

“Rakyat letak harapan tinggi, jadi kita perlu tunjukkan kesungguhan membawa aspirasi mereka yang memilih Pakatan pada pilihan raya umum dahulu,” katanya.

Share on Myspace