Kita seharusnya malu halang usaha perteguh hukum Allah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Nasrudin Hassan mengalu-alukan mana-mana pihak mahupun individu untuk memohon perintah injunksi daripada mahkamah bagi menghalang Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk membentang Rang Undang-Undang Persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat.

"Jika ia dilihat wajar bagi mana-mana pihak, maka silakan mengikut lunas perundangan yang sewajarnya.

"Cuma, sebagai seorang Muslim, kita seharusnya malu kerana menghalang usaha untuk memperteguhkan hukum hakam Allah SWT di negara ini," ujar Ahli Parlimen Temerloh itu dalam satu kenyataan.

Katanya, sepertimana yang sedia maklum, sejak kewujudan PAS lebih separuh abad yang lalu, cita-cita PAS adalah untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan di Malaysia yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum hakamnya menuju keredhaan Allah.

Ini, ujarnya bermakna PAS tidak pernah berkompromi dengan tujuan penubuhannya sehingga ke hari ini.

PAS, jelas beliau hanya mengambil pendekatan secara berperingkat-peringkat, berdasarkan situasi semasa dan tanpa menggunakan kaedah agresif.

Tambah AJK PAS Pusat itu lagi, usaha pelaksanaan hudud khususnya di negeri Kelantan telah berjalan sebelum 1993 lagi.

Menurutnya, pelbagai penerangan dan kempen telah giat dijalankan bagi memastikan rakyat memahami dengan jelas Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) yang akan diimplementasikan di bumi Serambi Makkah ini.

"Alhamdulillah, PAS telah menang dan diberi mandat sokongan daripada rakyat Kelantan lebih 20 tahun," ujarnya.

Ini juga, kata beliau bermakna mereka bersetuju dengan dasar dan tujuan yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.

Sehingga ke saat ini, ujarnya PAS hanya memohon sedikit pindaan yang melibatkan kuasa perundangan Persekutuan bagi membolehkan EKJS dilaksanakan secara sistematik di negeri Kelantan.

Maka, kata Nasrudin tidak ada apa-apa kesalahan bagi PAS untuk merealisasikan hasrat ini.

"Saya turut mengharap agar ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang beragama Islam khususnya boleh bersetuju dengan RUU Persendirian mengenai hudud yang akan dibentangkan oleh PAS tidak lama lagi, insya Allah," ujarnya. - HARAKAHDAILY 10/5/2015

Share on Myspace