Usul muktamar: Pemimpin DAP tidak perlu gopoh

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS mengharapkan supaya pemimpin DAP tidak gopoh untuk mengeluarkan kenyataan sehingga mengeruhkan suasana mengenai usul Dewan Ulamak PAS pada Muktamar PAS Ke-61, minggu lalu.

"PAS meminta supaya semua pihak bersabar dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang mengeruh suasana dan memanaskan iklim politik di negara ini," ujar Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, kenyataan Lim Guan Eng yang meminta supaya semua penjawat lantikan politik di Pulau Pinang meletak jawatan satu kenyataan yang akan mengeruhkan lagi keadaan.

"Biarlah pimpinan PAS yang mengendalikan isu ini dengan baik," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Baginya, tidak perlulah kenyataan itu dikeluarkan kerana ia memberi kesan politik jangka panjang dan persepsi buruk terhadap DAP dalam kalangan orang-orang Melayu.

Jelas beliau, selama ini PAS cuba membetulkan persepsi buruk bahawa DAP bukan parti yang anti Melayu dan Islam, walau pun PAS dipandang buruk oleh orang-orang Melayu terutama di luar bandar.

"Tetapi atas semangat setia kawan dalam tahaluf, PAS tetap pertahankan," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 10/5/2015

Share on Myspace