Muktamar 61: Ulama kukuhkan kedudukan dalam parti

HARIS ZALKAPLI | .

PEMILIHAN barisan pemimpin PAS untuk penggal 2015-2017 telah berjalan dengan lancar, dengan hasil keputusan yang sedikit sebanyak telah dijangka tetapi tetap mengejutkan termasuk kepada kelompok yang telah lama melakukan persediaan untuk memastikan penguasaan pemimpin-pemimpin mendukung kepimpinan ulama.

Barisan pemimpin berubah hampir sepenuhnya, melibatkan perubahan timbalan presiden, tiga naib presiden dan kekalahan ramai ahli Jawatankuasa Kerja Pusat, perubahan ketua sayap Pemuda dan tiga jawatan ketua, timbalan dan naib Dewan Muslimat.

Sejak perubahan besar-besaran kepimpinan Dewan Pemuda pada Rabu 3 Jun, perubahan landskap kepimpinan PAS  secara keseluruhan telah kelihatan. Pengundian secara blok menyaksikan pasukan Ketua Pemuda Suhaizan Kaiat, calon Timbalan Ketua Pemuda Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob dan calon Naib Ketua Nor Azman Mohamad tewas dengan jumlah undi yang agak besar, dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda dimenangi oleh pemimpin-pemimpin Pemuda yang mendukung kepimpinan ulama.

Tidak seperti pemilihan penggal 2013-2015 yang menyaksikan undi tidak sepenuhnya secara blok walaupun pemimpin-pemimpin proulama Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ir Khairil Nizam Khiruddin mendapat jumlah undi yang selesa tetapi Suhaizan memperoleh kemenangan, undi tahun ini menunjukkan pembahagian yang jelas.

Keputusan pertandingan satu lawan satu dalam Dewan Pemuda daripada pengerusi tetap hingga naib ketua pemuda menunjukkan satu jumlah rendah yang hampir sama diperoleh kumpulan Suhaizan, dengan jumlah tertinggi tidak menghampiri 300 undi.

Keputusan Dewan Muslimat meneruskan trend pengundian secara blok apabila calon Ketua Muslimat Ustazah Nuridah Salleh, calon Timbalan Ketua Dr Rosni Adam dan calon Naib Ketua Salamiah Md Nor menewaskan penyandang, Ketua Muslimat Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff, Timbalan Dr Siti Mariah Mahmud dan Naib Ketua Mumtaz Mohd Nawi.

Dewan Muslimat dilihat sesetengah pihak sebagai kayu ukur yang akan menunjukkan sejauh mana kelompok konservatif proulama berjaya dalam memenangkan pemimpin-pemimpin proulama dalam pemilihan kali ini. Ada yang menjangka calon-calon proulama berdepan cabaran paling getir dalam Dewan Muslimat, ekoran pengaruh kuat Ketua Muslimat Ustazah Siti Zailah dan pasukannya Dr Mariah dan pemimpin popular Muslimat di Kelantan, Mumtaz.

Pada Khamis, 4 Jun, keputusan pertandingan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat mengesahkan lagi pengundian secara blok oleh pendukung kepimpinan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama.

Keputusan Tuan Guru Abdul Hadi memperoleh 928 undi berbanding hanya 233 diperoleh Ustaz Ahmad Awang menegaskan sokongan kuat kepada Tuan Guru Presiden yang telah berdepan cabaran getir termasuk usaha pembunuhan karekter sejak dua pilihan raya umum yang lalu.

Jumnlah undi rendah Ahmad Awang berbanding undi diterima penyandang Timbalan Presiden Mohamad Sabu - sebanyak 279 undi - dan calon-calon AJK Pusat dari kelompok yang sama yang tewas menunjukkan Ahmad Awang tidak mendapat sokongan penuh daripada blok yang tidak menyokong Tuan Guru Abdul Hadi.

Keputusan-keputusan ini semua menunjukkan kewujudan satu gelombang proulama yang sangat kuat, lebih-lebih lagi selepas kempen dua tahun lalu gagal mendapatkan hasil keputusan seperti diharapkan. Kekuatan gelombang ini juga dipercayai didorong juga oleh kenyataan-kenyataan dan tindakan kelompok yang lebih liberal dan pragmatik yang mengguris perasaan kelompok konservatif pendukung kepimpinan ulama.

Perkembangan ini menunjukkan kepimpinan ulama masih diterima sebahagian besar ahli, dan PAS kelihatan akan kekal di atas landasan dan prinsipnya sebagai sebuah parti Islam yang konservatif, mengatasi tuntutan-tuntutan pragmatik yang semakin kuat sejak bersama dalam kerjasama Pakatan Rakyat.

Keputusan dalam Muktamar Tahunan ke-61 ini juga menegaskan kedudukan PAS sebagai sebuah parti yang mempunyai ahli-ahli yang teguh pendirian dan mempunyai kesatuan pemikiran dalam agenda yang menjadi pegangan parti.

Pada masa sama, terbukti juga yang proses demokrasi pemilihan pemimpin parti terus dapat berjalan dengan lancar dalam PAS. Kempen termasuk usaha menganjurkan debat berjalan tanpa kejadian di luar kawalan dan memalukan parti.

Pemilihan PAS, beberapa isu penting

Pemilihan kepimpinan PAS yang baru berlangsung dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 telah mendapat perhatian ramai sejak sebelum undian dijalankan, dan mencetuskan banyak istilah dan pandangan-pandangan untuk menjelaskan apa yang berlaku dalam parti ini. Berikut beberapa isu penting berkaitan dengan perkembangan ini.

1. Pengundian blok
Pengundian secara blok bukanlah sesuatu yang aneh atau negatif, kerana boleh wujud satu kumpulan atau beberapa orang pemimpin yang mempunyai aspirasi yang disokong dan dilihat sebagai berdaya maju oleh ahli-ahli parti. Ini termasuklah penggunaan senarai atau "chai" untuk mengenal pasti nama-nama yang hendak diundi atau sekadar dijadikan panduan dan endorsmen pihak-pihak tertentu termasuk oleh Majlis Syura Ulama. Endorsmen bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam pemilihan dan pilihan raya.

2. Kewujudan kem
Kewujudan kem mempunyai kedua-dua sisi positif dan negatif. Positifnya ialah calon-calon yang berwibawa dan wajar dipilih dapat dikenal pasti dan diperkenalkan dengan lebih mudah. Hal ini hampir sama dengan kempen parti-parti politik menggesa pengundi mengundi calon-calon parti mereka. Tetapi wujud juga soal apa yang dinilai dahulu, calon yang mempunyai kecenderungan sama atau kebolehan? Kewujudan kem boleh mendorong kem-kem terbabit meletakkan calon tidak layak yang dipilih semata-mata kerana menjadi sebahagian kumpulan mereka.

3. Kesan persepsi
Mungkin persepsi tidak dianggap penting oleh sesetengah pihak, tetapi dalam politik negara ini yang persepsi dan permainan imej menjadi semakin dominan, soal persepsi tidak boleh dipandang ringan. Kemenangan kelompok konservatif yang imejnya telah lama diserang dan diberi gambaran negatif oleh media terutamanya media liberal kini menjadi satu cabaran besar untuk diatasi oleh PAS. Kelompok liberal dalam PAS lebih mendekati golongan bukan Muslim dan dilihat sebagai lebih "progresif" dalam hal ini. Kekalahan besar mereka akan memberi kesan kepada persepsi bukan Muslim terhadap PAS.

4. Rasa puas hati
Kemenangan luar biasa kelompok ulama dalam pemilihan kali ini berpotensi mewujudkan perasaan puas hati dan rasa segala masalah telah selesai. Wujud kemungkinan sesetengah pihak dalam kalangan yang menang memandang terlalu tinggi kemenangan ini dan melihat penyelesaian masalah akan menjadi mudah. Persetujuan dalam hal apa yang ditentang sentiasa lebih mudah berbanding apa yang ingin dicapai dan cara mencapainya.

5. Kerjasama Pakatan Rakyat
Kerjasama dengan gabungan Pakatan Rakyat tidak dapat dielakkan daripada berdepan cabaran ekoran hasil pemilihan yang telah mengubah landskap kepimpinan PAS. Akibat persepsi negatif yang telah lama dibina dan PAS yang dijangka bersikap lebih asertif dan tegas, rakan Pakatan akan merasai satu perubahan daripada PAS yang lebih lembut dan mengalah seperti sebelum ini. Perubahan sifat PAS ini akan mengubah bentuk kerjasama Pakatan Rakyat.

6. Kesatuan dalaman
Selepas pertembungan yang sengit dan mencederakan kedua-dua pihak, usaha mendamaikan dan meredakan persaingan diperlukan oleh PAS. Ketua Pemuda Nik Mohamad Abduh Nik Mat sendiri menyatakan hasrat melaksanakan agenda ini dalam ucapan kemenangannya di Shah Alam. Hal ini bakal menjadi sesuatu yang mencabar dan lebih sukar daripada yang dijangkakan, ekoran perbezaan pandangan alam antara dua pihak yang bersaing.

7. Label "profesional"
Banyak pihak memberi label "profesional" dan "progresif" kepada pihak yang tidak sehaluan dengan kelompok yang mendukung kepimpinan ulama. Kesalahan pengkategorian ini amat jelas, kerana golongan berkerjaya profesional turut mewakili kelompok konservatif yang sering dilabel sebagai golongan "agamawan." Label dan kategori yang salah ini meletakkan golongan penyokong kepimpinan ulama di sisi negatif.

8. "UG"
Label UG (unity government) atau kerajaan perpaduan digunakan - dengan membawa pengertian dan implikasi berbaik dan berkomplot dengan Umno dan mengkhianati rakan pakatan) oleh pihak tertentu untuk memberi gambaran negatif Tuan Guru Presiden Abdul Hadi dan kumpulan penyokong ulama. Malang sekali, ketika amalan label-melabel dikecam kuat, masih ada yang menggunakan label ini. Malah, pihak yang menganjurkan "ruhama" sendiri menyindir dengan menyebut "kenyit mata dengan Umno."

9. Pengaruh luar
DAP melalui beberapa orang pemimpinnya termasuk Lim Guan Eng secara keras mengecam Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi menjelang muktamar dan pemilihan. DAP telah mendedahkan dirinya sebagai parti yang ingin menguasai PAS dan Pakatan dan mahu mempengaruhi pemilihan, dan juga melakukan provokasi mungkin dengan harapan PAS melatah dan bertindak tidak rasional. Akhirnya, pemilihan pemimpin-pemimpin yang tidak disukai DAP merupakan tamparan kepada parti itu.

10. Kumpulan Islam utama
Perhatian terhadap PAS oleh kawan dan lawan meletakkan PAS di satu kedudukan yang istimewa. PAS menunjukkan bahawa ia mempunyai pengaruh dan nilai tersendiri yang penting dalam politik Malaysia dan juga pelbagai lapangan lain dalam negara ini. Kedudukannya sebagai pihak yang menjadikan pelaksanaan syariat Islam sebagai agenda utama dan mewakili orang Melayu yang merupakan majoriti terus mengesahkan posisi istimewa PAS ini. – HARAKAHDAILY 10/6/2015

Share on Myspace