Najib, bebaslah daripada sindrom penafian

| .

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa segala kontroversi yang melanda kepimpinan Datuk Seri Najib Razak berpunca daripada perdana menteri itu sendiri.

Beliau berkata, Najib perlu sedar dari sindrom penafian dan berhenti menyalahkan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik kepimpinannya sekarang.

Katanya, masalah utama Najib adalah sikap degilnya yang enggan menerima nasihat daripada negarawan yang merupakan mentornya sendiri.

"Adakah benar masalah yang melanda pentadbiran PM Najib ini berpunca daripada Tun Mahathir?

"Bukankah yang memegang kuasa, yang membuat keputusan dan pengarahan adalah PM Najib sendiri?

"Sungguh hairan apabila seorang perdana menteri sebagai orang nombor satu dalam pentadbiran menjadi begitu lemah dan takut kepada suara kritikan daripada orang yang sudah pun tidak berjawatan dalam kabinet," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz juga berkata, Najib tidak perlu menuding jari kepada orang lain kerana skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilakukan oleh orang kepercayaan Najib sendiri.

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga katanya dilaksanakan ketika pentadbirannya.

"Mengapa masih ingin menuding jari kepada pihak lain sedangkan kesilapan itu berpunca daripada diri sendiri?

"Semoga PM Najib cepat sedar sebelum Umno BN dihumban oleh rakyat ketika PRU14 kelak," katanya. - HARAKAHDAILY 10/6/2015

Share on Myspace