Usul tahaluf: Fahami organisasi, perlembagaan PAS

WAN ROHIMI WAN DAUD | .

SEJAK semalam, kita dihidangkan dengan pelbagai sajian media tentang kononnya Usul Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) yang diluluskan sebulat suara melalui 644 perwakilan pada Muktamar DUPP 3/6/2015, yang kemudiannya diluluskan tanpa bahas melalui Muktamar PAS Pusat pada 5/6/2015, sebagai telah mempunyai kesan muktamad, yang mengikat Jawatankuasa PAS Pusat (JKPP) dan Majlis Syura Ulamak (MSU). Usul itu, kata mereka, adalah muktamad dan tidak boleh diubah lagi sama ada oleh JKPP ataupun MSU. Maka putuslah PAS dengan DAP di semua peringkat, baik di Pulau Pinang mahupun di Selangor.

Membaca tulisan media cetak, mahupun media baru di alam maya, segalanya telah bernoktah! Itulah yang dijaja, dan dilaungkan sekelian alam. Bergegar sekalian alam, apatahlah lagi dengan pengumuman perletakan jawatan oleh beberapa bekas pemimpin tertinggi PAS, bagi jawatan-jawatan awam yang disandang di Pulau Pinang.

Sinar Harian semalam, 9/6/2015, menyiarkan kenyataan Peguam dan bekas Bendahari PAS, Asmuwi Awi yang menegaskan bahawa PAS perlu mengadakan Muktamar semula jika tidak mahu kedudukan wakil parti dalam kerajaan Pulau Pinang dan Selangor terjejas atau terus dibelenggu kekeliruan. “...atau terus dibelenggu kekeliruan”. Katanya dengan tegas!

Tidak kurang juga ramai bekas pimpinan kanan PAS yang tersungkur, mengeluarkan kenyataan yang sama. Senada dan seirama. Itulah rentak dan tari mereka. Saya tidak berhajat menelah motif kenyataan-kenyataan sedemikian, cukuplah Allah menjadi saksi keikhlasan perjuangan mereka! Namun kenyataan-kenyataan sedemikian, dikala JKPP dan MSU masih belum membuat apa-apa pendirian rasmi, kelihatan sangat gopoh dan gelojoh sekali. Provokasi ini, walau apa pun motifnya, telah menyebabkan kekeliruan dan kecelaruan berpanjangan bagi ahli-ahli PAS, bahkan orang awam, bagi setiap sosok, di segenap pelosok!

Asmuni berhujah dalam akhbar Sinar Harian 9/6/2015, menyandarkan pendirian sedemikian kepada Fasal 7(1) dan (3) Perlembagaan PAS. Beliau tampil dengan konklusi yang muluk, katanya – “Dengan kata lain, usul diluluskan itu seperti undang-undang yang perlu dilaksanakan memandangkan gerak kerja dan pentadbiran PAS perlu mengikut keputusan muktamar seperti dicatatkan dalam perlembagaan”.

Dengan kata lain, bekas Bendahari PAS ini menegaskan bahawa selepas Usul tersebut diluluskan, maka tiada lagi dikotomi, JKPP dan MSU hendaklah terikat dengan Usul itu, dan menerimanya secara mutlak. Bahkan hujahan sebegini banyak dibahas di segenap ruang maya, termasuklah yang disebar-luas melalui applikasi telefon pintar.

Maaflah, saya amat tidak bersetuju dengan pandangan itu. Hujah sedemikian, pada saya sangat meleset dan tidak menepati konteks perlembagaan PAS, dan saya berharap ahli-ahli PAS tidak menyumbang kepada kekeliruan yang disengajakan ini!

Struktur Badan-Badan Dalam Pas dan Kedudukan Majlis Syura Ulama

Sebelum kita meneroka intipati sebenar Fasal 7(1) dan (3) Perlembagaan PAS, adalah moleknya kita fahami secara ringkas kedudukan badan-badan dalam organisasi PAS.

Dari segi perlembagaan dan organisasi, PAS adalah sebuah parti yang amat unik – yang tidak sama dengan parti-parti lain di negara ini. Mempunyai 3 sayap/badan dan satu Jawatankuasa Induk yang memenuhi kerangka demokrasi, iaitu dipilih melalui Muktamar bagi setiap dua tahun, sebagaimana berikut:-

(a)  Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (JKPP);
(b)  Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP);
(c)  Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP); dan
(d)  Dewan Muslimat Pas Pusat (DMPP).

Di atas dari tiga Dewan dan JKPP, PAS mempunyai satu entiti yang amat istimewa, yang paling tinggi hierarkinya dalam parti – iaitu Majlis Syura Ulamak (MSU). Keahlian MSU tidak dipilih melalui Muktamar setiap dua tahun sekali, tetapi dilantik untuk tempoh maksimum selama lima tahun, yang terdiri daripada seorang Mursyidul Am, seorang Timbalan Mursyidul Am, seorang Setiausaha dan tidak lebih 14 orang ahli MSU – rujuk Fasal 8(2) Perlembagaan PAS.

Fasal 8(3) memperihalkan syarat-syarat keahlian MSU yang dilantik – iaitu hendaklah seseorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (al-Usul) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias.

Persoalan mungkin timbul kenapa perlunya kewujudan MSU, sebagai badan tertinggi dalam PAS? Inilah yang membezakan PAS dengan parti-parti lain, kerana PAS bukan parti politik semata-mata. Ia adalah gerakan dakwah yang menumpang teduh dibawah kerangka demokrasi. MSU menjadi benteng yang akan memastikan matlamat Hukum dan Kekuasaan di bawah Fasal 7 (1) dapat dipertahankan – Hukum yang tertinggi dalam pegangan PAS adalah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijmak Ulamak dan Qias.

Ringkasnya, apa-apa saja yang melibatkan hukum dan pematuhan syarie termasuk soal Tahaluf Siyasi adalah merupakan subjek yang berada dalam bidangkuasa MSU, kerana tahaluf siyasi adalah melibatkan hukum tertinggi PAS.

Tahaluf Siyasi

Dalam membicarakan isu ini, saya berkesempatan meneliti semula Kertas Kerja – Tahaluf Siyasi: Garis Panduan Dari Perspektif Islam.

Kertas Tahaluf Siyasi ini adalah merupakan produk MSU sebelum memutuskan keharusan membentuk Tahaluf Siyasi dengan bukan Islam, khususnya kerjasama politik dengan parti DAP.

Untuk memudahkan kefahaman, izinkanlah saya mencedok sebahagian Kertas Tahaluf Siyasi sebagaimana berikut:-

Garis Panduan Tahaluf Siyasi

Terdapat kepelbagaian pendapat ulama dan fuqaha berkenaan keharusan bertahaluf Siyasi. Ada yang berpendapat haram secara mutlak berdasarkan beberapa dalil dan nas, manakalah sebahagian besar pula mengharuskannya dengan syarat.

Walau bagaimanapun, PAS telah mengambil dan memilih pendapat yang mengharuskan tahaluf siyasi berdasarkan realiti dan waqi’ di Malaysia.

Yang masih menjadi persoalan berkenaan dengan garis panduan tahaluf siyasi ialah berkenaan garis sempadannya, khususnya bertahaluf siyasi dengan golongan atau parti yang majoritinya non-muslim. Sememangnya tiada khilaf dalam kalangan yang mengharuskan Tahaluf Siyasi, bahawa keharusan itu bukanlah satu keharusan yang mutlak, tetapi ia adalah keharusan yang mempunyai batas-batasnya yang tertentu.

Oleh itu, buku panduan kecil ini bertujuan untuk meletakkan garis-garis sempadan dalam konteks realiti hari ini. Garisan sempadan yang dicatatkan di dalam buku ini bertitik tolak daripada dalil-dalil dan illat-illat di sebalik hujah mereka yang mengharuskan guna sebagai garis panduan serta ilmu maklumat kepada jentera parti khususnya dan umat Islam secara amnya.

Pada akhirnya Kertas Tahaluf Siyasi ini telah mengharuskan kerjasama politik dengan bukan Islam berdasarkan enam syarat utama:-

Enam Garis Panduan Tahaluf Siyasi

Berdasarkan kepada penelitian kepada dalil-dalil yang dikemukan berhubung isu tahaluf siyasi serta realiti serta kedudukan politik di Malaysia, enam perkara penting perlu dijadikan garis sempadan Tahaluf Siyasi. Enam perkara tersebut adalah seperti berikut:

1. Tahaluf mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam.
2. Tahaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dapat dipertahankan.
3. Intima’ hendaklah diberikan kepada kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), bukan kepada 
Pakatan Tahaluf.
4. Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.
5. Matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan Tahaluf secara mutlak.
6. Majlis Syura Ulamak mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siasi berdasarkan kepada maslahah dan mafsadah syar'iyyah dari semasa ke semasa. 


Kertas Tahaluf Siyasi mengandungi perbahasan panjang lebar berkenaan nas-nas dan hukum-hukum yang telah dipertimbangkan, sebelum memutuskan keharusan kerjasama politik dengan DAP, berdasarkan enam syarat diatas.

Berdasarkan penelitian kepada Kertas Tahaluf Siyasi ini, dua perkara yang perlu diperhatikan ialah:-

1.  Pertama, ia melibatkan soal Hukum – Fasal 7 (1) dan oleh itu tertakluk kepada bidangkuasa MSU;
2. Kedua, kesinambungan tahaluf siyasi adalah berdasarkan maslahah dan mafsadah syari’yyah yang hendaklah diteliti dan dinilai dari semasa ke semasa, iaitu penilaian kepada persoalan yang melibatkan Hukum, adalah terletak dalam bidangkuasa MSU;

Oleh hal yang demikian, atas asas ini sahaja saya mampu untuk menyimpulkan bahawa persoalan Hukum tentang tahaluf siyasi, hendaklah diputuskan oleh MSU – selaku pakar yang faqeh dalam soal-soal Hukum yang berkaitan.

Untuk meringkaskan Usul DUPP, saya terbitkan semula perenggan akhir Usul tersebut, yang diluluskan sebulat suara oleh 644 perwakilan DUPP, sebagaimana berikut:-

“MAKA Muktamar Dewan Ulamak PAS kali ke-54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat.”

Usul ini kemudiannya, ditaip semula oleh Jawatankuasa Usul, dan dibentang dan diluluskan tanpa bahas oleh Muktamar Pusat. Untuk meringkaskannya, saya terbitkan bahagian akhir Usul berkenaan sebagaimana berikut:-

(iv) PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak hendaklah memutuskan dan kerjasama politik dengan DAP, sebaliknya kekal bersama PKR dalam Pakatan Rakyat.

Yang jelas, kedua-dua Usul mempunyai matlamat yang sama – iaitu menggesa, mendesak dan/atau menuntut JKPP dan MSU supaya memutuskan kerjasama politik dendan DAP dan kekal bersama PKR dalam Pakatan Rakyat.

Lenggok bahasa Usul asal oleh DUPP adalah lebih lembut dengan menggunakan frasa “mencadangkan kepada MSU dan JKPP....”.

Tidak dinafikan, lenggok bahasa melalui Usul di Muktamar Pusat adalah lebih tegas, keras dan bersifat sangat mendesak, dengan menggunakan frasa “hendaklah memutuskan....”.

Namun pada hakikatnya, kedua-dua Muktamar DUPP dan Muktamar Pusat melalui usul berkenaan, telah mendesak agar JKPP dan MSU supaya menyemak semula dan/atau menilai kembali kerjasama politik dengan DAP. Maknanya, keputusan akhir bagi kerjasama politik ini hendaklah ditentukan oleh JKPP dan MSU.

Disinilah letaknya kebijaksaan penderaf Usul, yang tidak difahami oleh yang tidak ingin memahaminya – iaitu mengembalikan kuasa mutlak/pemutus kepada kerjasama politik dengan DAP – kepada JKPP dan MSU. Dalam konteks Hukum, maka sewajarnya MSU perlu kembali bersidang dan mencapai kata-putus.

Pada hemat saya, jika benar Muktamar PAS ini memutlakkan Usul tersebut tanpa perlu merujuk kepada JKPP dan MSU, maka Usul akan menjadi lebih mudah sebagaimana berikut – “Bahawa PAS dengan ini memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan DAP serta-merta, serta kekal bersama PKR dalam Pakatan Rakyat”!

Tiada keperluan membuat rujukan kepada JKPP dan MSU, jika keputusan mutlak yang diinginkan!

Disinilah juga kebijaksanaan dipamerkan oleh Tuan Guru Presiden dan saf kepimpinan PAS, serta Jawatankuasa Usul, untuk mencadangkan Usul tersebut diluluskan tanpa dibahas – kerana pada akhirnya yang berkuasa dalam konteks Perlembagaan PAS untuk menentukan urusan Hukum – adalah terletak dibahu MSU.

Tiada gunanya Usul sedemikian dibahas, apatah lagi perbahasan perwakilan akan hanya mengundang sensitiviti dan emosi, yang pada akhirnya akan membarahkan lagi fitnah kepada PAS. Perbahasan bagi sesuatu yang tidak mutlak, akan hanya melebarkan jurang pemisah dari kalangan perwakilan, bahkan akan menyumbang kepada leburnya ukhuwwah dalam kalangan ahli. Sudah tentu hal begini, adalah mudarat yang lebih besar yang perlu dihalang. Atas prinsip sadduz-zaraik, sangat bijak tindakan untuk meluluskan Usul sedemikian tanpa bahas.

Pada akhirnya, sangat jelas kepada kita bahawa kedua-dua Usul DUPP dan Muktamar Pusat, masih belum mutlak sehinggalah diputuskan secara rasminya oleh JKPP dan MSU. Usul itu boleh diterima sepenuhnya, atau ditolak sepenuhnya atau dipinda sebahagiannya.

Muktamar – Adakah Ia Kuasa Tertinggi PAS?

Secara umumnya, saya boleh bersetuju bahawa muktamar adalah kuasa tertinggi parti. Namun di sana ada halangan/kekangan terhadap kuasa muktamar, lantas menafikan kekuasaan tertinggi parti dalam hal-hal tertentu.

Muktamar PAS tidak boleh memutuskan apa sahaja, walau pun dilulus dan direstui perwakilan bila mana ia menceroboh sempadan kekangan/halangan yang berkenaan.

Muktamar PAS, pada hemat saya tidak sama dengan Perhimpunan Agong Parti-parti lain, yang boleh memutuskan apa saja asalkan diluluskan oleh Perhimponan Agong parti tersebut. Di sinilah unitnya kewujudan MSU sebagai benteng hukum tertinggi PAS, yang didokong oleh PAS sejak sekian lama.

Fasal 7 Perlembagaan PAS, jika dihayati dengan teliti, akan memperlihatkan sekatan/halangan kekuasaan Muktamar sebagaimana berikut:

a.  Fasal 7 (1) – Muktamar adalah tertakluk kepada Hukum Tertinggi PAS – iaitu Kitabullah, Sunnah Rasul, Ijmak Ulamak dan Qias;
b.   Fasal 7 (2) – Muktamar itu sendiri tertakluk kepada syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS.

Justeru disana, pada hemat saya,  Muktamar PAS secara jelas diikat dalam dua keadaan berikut:-

a. Tidak berhak memutuskan secara mutlak perkara-perkara yang melibatkan Hukum Tertinggi berdasarkan Fasal 7(1);

b. Tidak berhak memutuskan secara mutlak, perkara-perkara yang telah diperuntukkan secara spesifik oleh mana-mana Badan dalam PAS.

Tidak dapat dinafikan, tahaluf siyasi adalah perkara hukum, sebagaimana Kertas Tahaluf Siyasi yang telah saya sentuh sepintas lalu. Oleh itu, apa juga usul muktamar yang menyentuh soal hukum, hendaklah dirujuk dan disahkan oleh MSU.

Keduanya, urusan hubungan antara parti/kerjasama politik/tahaluf siyasi telah diperuntukkan secara spesifik dibawah Fasal 26(9)(k), sebagaimana berikut:-

“Memperbuat pertimbangan untuk bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan lain yang tidak bercanggah  dengan dasar dan tujuan PAS dan membuat  keputusan mengenainya setelah dipersetujui oleh MSU”.

Memandangkan soal tahaluf siyasi dan kerjasama politik adalah di bawah bidangkuasa spesifik JKPP dan MSU, Muktamar hanya boleh mengemukakan Usul untuk menggesa/mendesak kedua-dua JKPP dan MSU sahaja.

Sehinggalah Perlembagaan PAS dipinda, maka peruntukan ini kekal dan hendaklah dipatuhi sepenuhnya.

Kesimpulan

Berdasarkan penelitian Kertas Tahaluf Siyasi, Fasal 7 (Hukum Tertinggi), Fasal 8 (Majlis Syura Ulama) dan Fasal 26(9)(k) [peruntukan khusus tentang hubungan antara parti-parti lain], dengan jelasnya memperlihatkan bahawa Usul-Usul yang diluluskan oleh DUPP dan Muktamar penuh adalah tidak mutlak, serta tidak mempunyai kesan perundangan, sehinggalah ia disahkan, atau ditolak atau dipinda oleh JKPP dan MSU.

Dengan sebab itu, kedua-dua Usul DUPP dan Muktamar penuh, telah dideraf dengan penuh cermat oleh Jawatankuasa Usul, untuk membuat rujukan silang kepada JKPP dan MSU, selepas ia diluluskan oleh DUPP dan Muktamar penuh.

Saya berpendapat, rasional di sebalik pembentangan Usul asal oleh DUPP, yang kemudiannya dilulus tanpa bahas oleh Muktamar Pusat, hanyalah sebagai pencetus di peringkat akar umbi, dalam keadaan sudah mengetahui bahawa hal Tahaluf Siyasi adalah dibawah bidangkuasa MSU. JKPP dengan persetujuan MSU, tetap boleh memutuskan kerjasama politik sekiranya mendapati enam syarat tahaluf telah dicabul oleh DAP, tanpa perlu merujuk kepada muktamar, atau tanpa apa-apa Usul diluluskan oleh muktamar. Lupakah kita, kerjasama politik yang membentuk Barisan Alternatif tidak dilulus oleh muktamar, sebaliknya memadai dengan keputusan JKPP dan MSU.

Malang sekali, segelintir bekas pimpinan PAS yang berpuluh tahun bernaung dibawah Perlembagaan PAS, tidak mampu menghayati ruh dan semangat kepimpinan ulama sebagai benteng akhir untuk mempertahankan Hukum Tertinggi PAS sebagaimana Fasal 7. – HARAKAHDAILY 10/6/2015

Share on Myspace