Dakwa Pahang bakal gempa, tsunami tidak benar

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini menafikan khabar angin bahawa negeri Pahang akan dilanda gempa bumi dan tsunami dalam tempoh 36 jam.
    
Jabatan itu dalam satu kenyataan di sini berkata khabar angin mengenai kejadian itu seperti yang tersebar di media sosial adalah tidak benar sama sekali.
    
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai sebarang nasihat atau amaran yang disebarkan melalui media sosial yang sumbernya bukan daripada MetMalaysia," kata kenyataan itu.
    
Untuk pengesahan maklumat, orang ramai boleh merujuk laman web Jabatan Meteorologi Malaysia http://met.gov.my, mobile web rasmi m.met.gov.my atau melalui laman Facebook dan Twitter.
    
Selain itu, boleh juga hubungi MetMalaysia hotline di talian 1300 22 1MET (1638). - BERNAMA

Share on Myspace