Banjir: Skuad Pemuda Prihatin bantu mangsa

| .

KOTA BHARU: Projek pertama 10 rumah kekal di Desa Rahmat Machang disiapkan dalam tempoh sebulan bagi menempatkan semula mangsa banjir dari Temangan.

Rumah tersebut diserah kepada pemiliknya pada Febuari lepas. Bagaimanapun disebabkan masalah bekalan air dan elektrik hanya dua keluarga mendiami desa tersebut sekarang.

Jurucakap Pejabat Tanah dan Jajahan Machang menjelaskan dua kali kerja-kerja “boring” bagi membina telaga tiub dijalankan namun belum berhasil.

Katanya kawasan tersebut yang mempunyai batu hampar yang tebal di bawah tanah menyebabkan kerja-kerja menggerudi tidak berhasil.

“Malah sebelum ini Jabatan Kesihatan juga pernah menggerudi kawasan itu bagi membina telaga tiub namun gagal.

“Jadi kita berharap mangsa-mangsa banjir dari Temangan yang berpindah ke situ bersabar kerana kerajaan negeri sedang berusaha mengatasi masalah tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Desa Rahmat terletak di Kampung Berangan Mek Nab mempunyai lebih 100 penduduk. Penduduk di situ menggunakan air yang ditandak dari bukit dan telaga raya sebagai sumber air bagi kegunaan harian.

Bagaimanapun bekalan air tandak tidak dapat disalurkan ke Desa Rahmat disebabkan tekanannya agak rendah di musim kemarau sekarang.

Selain itu difahamkan Tenaga Nasional Bhd juga sudah siap membina sub-station tiga minggu lepas dan bekalan elektrik akan disambung tidak lama lagi.

“Biar pun masih kekurangan kemudahan asas namun ia tidak menghalang mangsa banjir mendiami Desa Rahmat berbanding kembali ke Temangan dengan menumpang rumah orang lain,” kata jurucakap terbabit.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan dana bagi membina saluran paip dari jalan utama Kuala Krai-Machang ke Desa Rahmat sejauh lebih 1 km.

Katanya air akan disalurkan dari Loji Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di Merbau Chondong ke kampung tersebut.  

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Nazman Iberahim berharap AKSB mempercepatkan projek membina saluran paip ke Berangan Mek Nab bagi mengatasi masalah dihadapi penduduk.

Katanya penduduk di kampung berkenaan masih lagi menggunakan air dari bukit dan telaga raya bagi kegunaan harian.

“Pemuda PAS melalui pasukan petugas Pemuda Prihatin akan membantu penghuni Desa Rahmat bagi mempercepatkan kemudahan asas disediakan di penempatan baru itu.

“Sebelum ini ada mangsa banjir agak keberatan datang ke pejabat sehingga menyebabkan agensi kerajaan mengambil masa untuk menyelesaikan masalah pemilikan rumah mereka.

“Oleh itu skuad Pemuda Prihatin tampil membantu mereka bagi membolehkan masalah yang dihadapi dapat diselesaikan,” katanya.

Menurutnya juga misi skuad terbabit akan memastikan tidak ada lagi mangsa-mangsa banjir mendiami khemah pada Ramadan ini.     

Kata beliau Pemuda PAS akan mencari dana bagi membolehkan rumah transit dibina di tapak milik mangsa banjir.

Menurutnya gerak kerja Pemuda Prihatin bagi fasa pertama lebih tertumpu di Kuala Krai memandangkan kawasan itu paling terjejas akibat banjir akhir tahun lepas. - HARAKAHDAILY 10/6/2015

Share on Myspace