Persempadanan: Mahkamah tolak permohonan peguam

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Seorang peguam hari ini gagal dalam permohonan samannya untuk mendapatkan maklumat berkenaan persempadanan semula daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
    
Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu setelah mendapati permohonan Haris Fathillah Mohd Ibrahim adalah tidak matang dan beliau tidak mempunyai locus standi untuk membuat permohonan tersebut.
    
Asmabi berkata persempadanan semula juga masih belum bermula ketika permohonan dibuat dan Haris Fathillah gagal menentukan siapakah yang dimaksudkan sebagai 'orang terjejas' dalam saman pemula yang difailkannya.
    
Tambahnya, Artikel 113 Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan perjalanan pilihan raya, cukup jelas mengenai persempadanan semula dan mahkamah tidak boleh menambah apa yang telah ditetapkan.
    
Asmabi memerintahkan Haris Fathillah membayar kos RM5,000.
    
Pada 19 Jan lalu, Haris Fathilah yang juga seorang aktivis, memfailkan saman pemula terhadap SPR bagi mendapatkan deklarasi bahawa orang yang terjejas akan berhak kepada semua maklumat yang berkaitan dengan pengubahan sempadan kawasan parlimen atau negeri.
    
Maklumat yang dipohon termasuk syor-syor yang dicadangkan, peta bahagian pilihan raya dan sebab pengubahan serta semua dokumen yang digunakan untuk persempadanan itu. - BERNAMA

Share on Myspace