Lukman, Search dan Jakim

NORHIDAYAH ISMAIL | .

BARU-baru ini kecoh di portal media atas talian apabila vokalis kumpulan Search menyatakan kekecewaannya terhadap seorang ahli motivasi bernama Lukman. Ini kerana beliau memuatkan status di Facebook yang menggelar pengisi Festival Belia 2015 sebagai 2015 hantu-hantu, siap dengan gambar kumpulan Search.

Portal media ultra kiasu dengan cepat mengambil kesempatan dengan menjadikan isu tersebut sebagai berita hangat. Apatah lagi ahli motivasi tersebut merupakan salah seorang kepimpinan daripada sebuah gerakan Islam pro-kontrak sosial dan pro-perlembagaan yang sangat dibenci oleh ultra kiasu.

Berita tersebut bahkan disambut gembira oleh portal media milik parti politik ultra kiasu sehingga memuatkan tiga kupasan khas untuk isu tersebut untuk dari tarikh 26 hingga 29 Mei 2015. Sekiranya Lukman sekadar orang biasa dan tiada kaitan dengan mana-mana organisasi yang menjadi ancaman kepada ultra kiasu, sudah pasti status FB ahli motivasi kecil-kecilan seperti beliau tidak diambil pusing.

Akhirnya yang bergembira adalah ultra kiasu dan konco-konco mereka, apabila beratus-ratus peminat kumpulan Search, yang rata-ratanya Melayu dan beragama Islam, membantu “kerja” mereka untuk menyusahkan ahli motivasi tersebut untuk berhadapan dengan kutukan, makian dan tohmahan.

Walaupun penulis merasakan gelaran hantu itu agak keterlaluan, namun begitu gelaran tersebut tidaklah kurang tepat. Awal-awal zaman pancaragam rock dan heavy metal diimport dari Barat dan diperkenalkan di Malaysia sekitar awal 80-an, masyarakat Malaysia terutamanya Melayu yang biasa dengan nilai Islam dan ketimuran, akan memanggil pengamal rock dan heavy metal sebagai hantu, dek kerana sinonim dengan rambut panjang mengerbang, solekan yang pelik, dan seluar baju yang londeh dan bercarik.

Orang-orang tua yang melihat kelibat mereka, bahkan ada juga para ustaz memberikan label yang keras bagi golongan itu, kerana bagi mereka ia merosakkan akhlak dan akidah bangsanya. Hantu, kutu berahak, pelesit dan seumpamanya digunakan sebagai gelaran sebagai langkah mencegah anak-anak muda mengikut jejak langkah begitu.

Sama ada ahli motivasi Lukman telah menggunakan kaedah ketinggalan zaman untuk menegur pengamal dan peminat genre muzik rock tersebut; ataupun mungkin masyarakat kita secara amnya telah semakin cair sensitiviti mereka terhadap apa yang salah, dan apa yang betul.

Dengan berlalunya zaman, pengamal muzik rock tetap beristiqamah dengan gaya dan cara mereka, tetapi masyarakat sekeliling tidak dapat beristiqamah menjadi masyarakat yang kurangnya rasa ingin memuliakan syiar-syiar agama, makanya perkara lalai dan sia-sia juga menjadi hak asasi. Ya! Hak asasi yang patut dihormati, tidak boleh disanggah dan dicela hatta walau bertentangan dengan nilai agama dan kebudayaan.

Hatta rosaknya jiwa anak bangsa runtuh seruntuhnya. Yang untung adalah industri muzik, yang kononnya memberi keuntungan kepada negara sehingga beratus juta walaupun terpaksa dibayar dengan jati diri anak bangsa.

Walaupun terkini Jakim mengeluarkan Garis Panduan Hiburan dalam Islam edisi kedua pada Februari 2015, usaha Jakim seolah-olah dipandang sepi oleh penganjur, penaja, pengamal serta peminat industri hiburan tanah air.

Padahal pandai pula mereka menggunakan elemen agama juga untuk dijadikan justifikasi betapa relevannya mereka di persada masyarakat. Golongan artislah yang banyak menderma, golongan artislah yang banyak membantu rumah anak yatim, golongan artislah yang membuka madrasah serta sekolah tahfiz.

Sesungguhnya mereka terlupa bahawa agama Islam itu syumul (menyeluruh) merangkumi semua aspek kehidupan. Tidak boleh hanya satu sudut sahaja menitikberatkan agama, sedangkan mengabaikan Islam dalam sudut-sudut kehidupan yang lain.

Satu lagi, apabila kerajaan yang memerintah masih belum terlepas dengan integriti dalam mentadbir urus negara ini, bahkan dengan pendapatan negara yang semakin berkurang dek merudumnya harga minyak mentah, tiba-tiba Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pula menganjurkan Festival Belia 2015 di Putrajaya dengan besar-besaran.

Adakah sumber kewangangannya dari penaja swasta atau dari duit cukai rakyat yang majoritinya tidak hadir pun ke festival tersebut. Walau ada pameran dan aktiviti yang bermanfaat, namun ia banyak dicemari dengan budaya berhibur dan berseronok secara berlebihan, termasuklah konsert yang diisi oleh “hantu” bak kata ahli motivasi Lukman.

Adakah KBS tidak menghadam panduan yang disediakan Jakim? Bukankah KBS dan Jakim bertugas di bawah kerajaan yang sama? Sekiranya festival sebegini dianjurkan oleh pihak swasta, mungkin boleh disebut bertujuan untuk meraih keuntungan.

Tetapi apabila pihak kementerian kerajaan yang menganjurkan acara sebegini, apa sebenarnya aspirasi kerajaan tentang belia yang mahu disiapkan untuk memimpin negara ini di masa hadapan?

Banyak pengajaran dan hikmah yang boleh dilihat dari isu Amy Search dan ahli motivasi Lukman. Dari isu agenda musuh negara, isu sensitiviti keimanan masyarakat, ke isu dualisme dalam beragama di kalangan masyarakat, sehinggalah ke isu peranan badan kerajaan.

Ramadan akan menjengah dalam masa kurang sebulan, semoga rakyat Malaysia keseluruhan akan masuk dan keluar dari bulan Ramadan, dalam keadaan lebih bertaqwa. – HARAKAHDAILY 11/6/2015

Share on Myspace