Maklumat terkini rumah mangsa banjir Gua Musang

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Sudah beberapa kali pemimpin Umno memberitahu mahu membeli tanah bagi membina rumah kekal mangsa banjir, namun difahamkan belum ada permohonan diaju kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

Situasi itu seolah-oleh memperlihatkan Umno bermain “wayang” di sebalik usaha membantu mangsa banjir.

Penyelia Parlimen Gua Musang, Azman Ahmad berkata, sehingga sekarang difahamkan belum ada permohonan diaju bagi membeli tanah untuk mewujudkan penempatan baru mangsa banjir.

“Sedangkan tanah bagi menempatkan mangsa banjir sudah disediakan kerajaan negeri. Antaranya Cabang Tiga Lama Kampung Pulai seluas 15 ekar dan Tanah Putih 53 ekar,” katanya di sini.

Beliau berkata di Tanah Putih sebanyak 30 rumah sedang dibina Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Kerajaan negeri turut menyediakan kawasan seluas 14 ekar di Limau Kasturi bagi membina 91 rumah kekal di bawah kendalian Maik.

Beliau berkata kerajaan negeri juga kini menyiapkan pembinaan 17 rumah kekal di Kolam Mas, Batu Papan dan Tanah Putih dijangka dapat diduduki Ramadan ini.

Sebuah daripadanya sudah diduduki sejak April lepas. NGO Cakna UT pula menyiapkan tujuh rumah di Bertam Baru dan Pasir Tumbuh. Dua lagi dalam pembinaan.

Penyerahan rumah tersebut dijangka diadakan pada Sabtu ini di Pasir Tumbuh.

Baru-baru ini Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha dilapor berkata kerajaan pusat bersetuju membeli tanah di Gua Musang bagi membina rumah kekal mangsa banjir dengan kadar segera.

Sehingga kini kerajaan pusat difahamkan membina tiga rumah kekal di Kampung Bertam Baru, Kuala Betis (3) dan Kuala Sungai (11).

Pembinaan rumah kekal di bawah kerajaan negeri di Gua Musang yang dipersetujui Jawatankuasa Pasca Banjir Kelantan sebanyak 285 dan pusat (176).

Azman juga mendakwa disebabkan kelewatan kerajaan pusat membina rumah kekal di Lebir menyebabkan NGO mengambil alih peranan itu.

Menurut beliau sepatutnya pembinaan rumah kekal di Lebir dikendalikan JKR Kesedar, namun tanggungjawab tersebut diambil alih Etiqa Takaful Malaysia Islamic Aid Malaysia dan kini hampir siap sepenuhnya. – HARAKAHDAILY 11/6/2015

Share on Myspace