Pemuda PAS bekerja untuk Malaysia

| .

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mensasarkan pasukan kerja yang bersatu, bergagasan, berukhuwwah dan beristiqamah.

Beliau juga mahu memperteguh DPPM sebagai pemuda harapan dan aspirasi rakyat Malaysia terutamanya anak muda.

"Negara kita sekarang terumbang ambing dengan pelbagai gejala keruntuhan. Jadi saya mahukan Pemuda PAS menyumbang segala tenaga mereka demi membina kembali keyakinan masa depan yang cerah buat anak muda," katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga mensasarkan pembinaan barisan pelapis yang kukuh buat PAS pada masa akan datang dengan memperkukuh institusi pendidikan di bawah DPPM.

Ia termasuk mewujudkan satu lajnah seperti Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) untuk anak juda bukan Islam.

"Kita perkukuhkan generasi PASTI sehinggalah ke universiti. Kita akan pastikan generasi baru PAS hidup cintakan ilmu dan kepakaran dalam bidang yang diterokai.

"Kita mahu bina Malaysia. Dalam segala aspek dan keadaan, Pemuda PAS terus bekerja untuk Malaysia. Bahkan seperti saya sebut sebelum ini, kita mahu bangunkan bersama anak muda non muslim melalui jabatan DHPP Muda. Ia akan menjadikan Pemuda PAS lebih lengkap dan berperanan baik," katanya.

Sementara itu beliau turut berkata, pasukan kerja beliau akan meneruskan kerja-kerja yang dilakukan oleh DPPM sebelum ini di bawah Suhaizan Kaiat.

"Saya juga akan teruskan Projek Perumahan Rakyat Budiman yang sedang berjalan. Saya akan perkembangkan program bersama anak muda melalui medium wacana dan diskusi.

"Kita akan turun ke seluruh ‘genre’ dan akar umbi. Untuk PASTI, AMAL, DACS dan beberapa lagi jabatan di bawah Pemuda PAS, kita akan terus mara dengan inovasi yang akan lebih diterima masyarakat," katanya.

Beliau dalam pada itu menyifatkan saf kepimpinan yang baharu ini sebagai kombinasi yang mantap dengan latar belakang pemuda daripada pelbagai kepakaran.

"Saya hanya perlu memilih yang terbaik melalui kesepakatan bersama. Malah Pemuda PAS hari ini sudah melahirkan kepimpinan hebat di Sabah dan Sarawak. Pokok yang kita tanam sejak lama kini telah menghasilkan buah," ujarnya. - HARAKAHDAILY 11/6/2015

Share on Myspace