Mahkamah: Bantahan Nizar ditolak

| .

 

IPOH: Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini memutuskan perbicaraan kes saman Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak diteruskan tanpa perlu kehadirannya.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin menolak bantahan awal ketidakhadiran Najib yang dikemukakan oleh pihak Orang Kena Saman (OKS), Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Barisan lapan orang peguam yang diketuai oleh Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden sebelum ini memohon agar mahkamah membebaskan OKS kerana Najib tidak akan menghadiri perbicaraan tersebut.

Hakim membuat keputusan menolak bantahan awal itu dengan merujuk kepada satu kes yang melibatkan Almarhum Sultan Azlan Shah.

Tertuduh kes tersebut tetap disabitkan walaupun tanpa kehadiran Sultan Perak yang ke-34 itu.

Adun Changkat Jering itu telah dituduh memfitnah Najib dalam ceramahnya di Taman Desa Pakatan, Station 18 Ipoh pada 23 April 2012.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan “Saya juga dikhabarkan Najib baru-baru ini panggil semua pemimpin angkatan tentera, semua pegawai kanan angkatan tentera daripada darat ke, daripada laut ke, dan daripada udaranya.

“Najib bertanyakan pada mereka seandainya Barisan Nasional (BN) tumbang maka buatlah sesuatu.

"Saudara-saudara apa kata ketua-ketua angkatan tentera, mereka terbuka mereka belajar berkenaan apa yang berlaku di Timur Tengah maka mereka beritahu Najib, kami akan menyebelahi rakyat. Itu jawapan tentera".

Beliau turut mengeluarkan kenyataan “Maknanya kalau rakyat menolak Barisan Nasional memilih Pakatan Rakyat ke Putrajaya maka tentera-tentera akan bersama dengan rakyat menyebabkan Najib menjadi pucat lesu sepucat-pucatnya. Najib ingat tentera ini boleh dimainkan”.

Pada 14 Januari lalu, Mahkamah yang sama telah membebaskannya daripada pertuduhan memfitnah Najib atas tuduhan yang sama, disebabkan isu-isu teknikal.

Perbicaran disambung esok jam 10.00 pagi. - HARAKAHDAILY 11/6/2015

Share on Myspace