Kenyataan DAP tidak cerminkan semangat Pakatan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Merujuk kepada kenyataan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berdasarkan laporan akhbar Sinar Harian semalam, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menasihatkan Tony supaya tidak memberi tekanan kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali supaya memilih antara DAP dengan PAS.

“Ini kerana kenyataan tesebut tidak mencerminkan semangat Pakatan Rakyat yang telah diberi mandat besar oleh rakyat negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu.

“Saya juga ingin memberikan pandangan kepada pimpinan tertinggi PAS dan DAP supaya mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani konflik yang berlaku sekarang ini. Buat permulaan, saya ingin mencadangkan DAP supaya menarik balik kenyataan untuk memutuskan kerjasama dengan Presiden PAS, Datok Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang,” demikian tegas Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.
 
Tan Sri Muhammad juga memohon Ahli Majlis Syura Ulamak dan pimpinan tertinggi PAS supaya dapat mengambil satu sikap yang dapat menyelamatkan hubungan sesama parti dalam Pakatan Rakyat.

Beliau menggesa supaya tidak disia-siakan harapan rakyat Malaysia yang telah memberi undi 52 peratus kepada Pakatan Rakyat, khususnya harapan rakyat negeri Selangor yang telah memberi mandat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat.

Dalam keadaan Umno BN sedang lemah dengan pelbagai isu yang melanda mereka, Pakatan Rakyat perlu menunjukkan contoh alternatif terbaik kepada rakyat bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 nanti. – HARAKAHDAILY 12/6/2015

Share on Myspace