1MDB: Audit belum selesai masalah

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan digesa untuk mengeluarkan arahan segera untuk menjalankan audit kewangan 1MDB yang bermula pada 1 April 2014 hingga 31 Mac 2015, demikian menurut Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan merangkap AJK PAS Pusat.

Pada masa yang sama, katanya rakyat terus menunggu laporan siasatan forensik kewangan oleh Jabatan Audit Negara untuk dibentangkan di Parlimen serta tatapan awam.

"PAS mengalu-alukan prosiding siasatan Pengurusan Kawalan Tadbir Urus 1MDB yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ajk PAS Pusat berkata, sekurang-kurangnya terdapat enam transaksi 1MDB yang meragukan serta melibatkan persoalan integriti badan pengurusan tertinggi, dana awam dan kepentingan negara.

Antaranya, pelaburan USD1 bilion dalam industri minyak dan gas bersama JV Co yang akhirnya menjadi mekanisme kontrak pinjaman.

Pembelian aset janakuasa Tanjung PLC dan Genting Berhad bernilai RM 10.85 bilion serta pembelian sebidang tanah di Pulau Pinang bernilai RM 1.38 bilion yang semuanya didakwa 'overpriced'.

1MDB adalah syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia. Bermula dengan ekuit khas atau modal berbayar sebanyak RM 1,000,000 yang disediakan oleh Kementerian Kewangan.

Bagi tujuan pembelian atau pelaburan aset, ia dibiayai oleh modal pasaran hutang domestik dan antarabangsa. Sebahagian hutang tersebut dijamin oleh kerajaan.

Berdasarkan perkembangan semasa, jumlah keseluruhan aset 1MDB yang telah diaudit bagi tarikh kewangan berakhir 31 Mac 2014 ialah RM51.4 bilion.

Kebanyakan aset tersebut disokong oleh pemilikan tanah di Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia di Kuala Lumpur serta 234 ekar di Pulau Pinang. Selain itu, ia turut memiliki loji janakuasa di beberapa buah negara.

Jumlah keseluruhan hutang 1MDB pada tarikh kewangan yang sama telah mencecah sehingga RM 41.9 bilion.

Pembelian aset-aset pada paras harga yang tinggi dan gagal menjana pendapatan dalam jangka masa pendek telah menyukarkan aliran tunai 1MDB. Selain itu, ia juga terpaksa membayar kos pinjaman yang tinggi. – HARAKAHDAILY 12/6/2015

Share on Myspace