Saham FGV digantung, PM diam membisu?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: "Tepat sebagaimana ramalan. Setelah dikeluarkan daripada senarai 30 syarikat utama di Indeks Komposit KL, kini di gantung di Bursa Malaysia," ulas Mazlan Aliman di laman Facebooknya pagi ini berhubung kedudukan saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) itu sering kali melahirkan kebimbangan terhadap saham FGV yang mengalami penurunan sejak ia mula di dagangkan pada 28 Jun 2012 dengan harga RM4.55 sesaham.

"Kini saham tinggal RM1.86. YAB Perdana Menteri diam membisu. Dulu melaungkan slogan 'durian runtuh', tersandar dalam kejutan, penyenaraian ke dua terbesar selepas facebook dan berbagai lagi ucapan yang indah dan muluk. Mereka yang menentang di gelar 'haram jadah'," tulis beliau.

Semalam FGV memohon dagangan sahamnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia digantung mulai 9 pagi ini, sehingga satu pengumuman penting dibuat.

Bursa Malaysia dalam pengumumannya hari ini berkata, sehubungan itu dagangan dalam waran berstruktur berkaitan FGV juga akan digantung pada masa sama.

Saham FGV ditutup pada RM1.86, turun 6 sen dengan 3.37 juta saham bertukar tangan hari semalam.

Mazlan mempersoalkan apa tindakan kerajaan sekarang dengan kejatuhan saham FGV sehingga memaksa saham milik Felda itu digantung.
 
"Adakah kita bersedia berhimpun besar-besaran di Menara Felda atau di Putrajaya?" Soal Mazlan lagi. – HARAKAHDAILY 12/6/2015

Share on Myspace