Pendidikan bermutu tangani isu buruh kanak-kanak

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyeru semua pihak berkepentingan untuk menghormati hak seperti yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak dan instrumen Pertubuhan Buruh Antarabangsa seterusnya mengiktiraf pendidikan sebagai asas dan jaminan agar hak asasi manusia direalisasikan pada setiap peringkat masyarakat.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam di dalam perutusannya bersempena memperingati Hari Buruh Kanak-kanak Sedunia 2015 hari ini berkata pengiktirafan pendidikan sebagai hak asasi manusia juga termasuklah pelarian, migran dan kanak-kanak yang menjadi mangsa pemerdagangan.

Pada kali ini Suhakam memberi fokus kepada pendidikan yang berkualiti sebagai suatu langkah dalam menghadapi isu buruh kanak-kanak bertemakan “Tidak kepada buruh kanak-kanak, sokongan kepada pendidikan berkualiti”.

Tambahnya, buruh kanak-kanak merupakan isu sejagat dan amat dikesalkan kerana ia merupakan suatu bentuk penderaan dan eksploitasi kanak-kanak serta pelanggaran hak asasi manusia yang membimbangkan.

"Buruh kanak-kanak ditakrifkan sebagai suatu bentuk pekerjaan yang merencatkan pembentukan fizikal dan mental kanak-kanak serta menafikan kanak-kanak daripada mendapatkan pendidikan, kesihatan, masa lapang dan kebebasan asas, yang mencukupi, secara langsung telah melanggar hak asasi mereka," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun bagi Suhakam  aktiviti kanak-kanak yang membantu ibu bapa mereka semasa di rumah atau berniaga untuk mendapatkan duit sampingan semasa cuti sekolah, tidak sewajarnya disalahertikan sebagai buruh kanak-kanak kerana ia merupakan suatu amalan dalam budaya masyarakat di Malaysia.

Mengimbas kembali laporan mengenai buruh kanak-kanak dalam industri perladangan kelapa sawit Malaysia seperti yang dikenal pasti pada tahun 2014 oleh Biro Hal-Ehwal Buruh Antarabangsa (ILAB) di bawah Jabatan Buruh Amerika Syarikat.

Suhakam, menekankan bahawa buruh kanak-kanak melanggar prinsip yang ditetapkan dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak dan instrumen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), terutamanya Konvensyen No. 138 mengenai Umur Minimum Pengambilan Bekerja,  1973 dan Konvensyen No. 182 iaitu Bentuk Penganiayaan Buruh Kanak-Kanak, 1999, yang kedua-duanya ditandatangani oleh Malaysia masing-masing pada tahun 1997 dan 2000; serta  Konvensyen Buruh Paksa, 1930 (No. 29). – HARAKAHDAILY 12/6/2015

Share on Myspace