1MDB: Najib wajar bersikap berani kerana benar

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak wajar bersikap berani kerana benar untuk berhadapan dengan negarawan, Tun Mahathir Mohamed ataupun wakil Pakatan Rakyat berlandaskan hujah dan fakta demi memperjelaskan kepada rakyat tentang letak-duduknya situasi kewangan dan masa depan negara ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam keadaan rakyat menanti penuh harapan perdebatan mahupun pertemuan antara Najib dengan Tun Mahathir, maka amatlah memalukan apabila Perdana Menteri yang berdarah pahlawan berani memberi alasan tidak dapat hadir ke program di bangunan Umno sendiri, PWTC itu atas alasan keselamatan.

"Sekiranya PM Najib sendiri tidak berasa selamat di bangunan pejabat beliau sendiri, inikan pula sekalian rakyat jelata yang diancam isu jenayah yang kian berleluasa," katanya kepada Harakahdaily.

Tegas Mahfuz, sekiranya Najib berselindung atas alasan pentas debat tidak bersesuaian kerana sesama parti Umno maka, amatlah wajar debat terbuka dianjurkan antara PM Najib dengan parti pembangkang.

"Ini menunjukkan PM Najib sudah bersedia untuk berdebat cuma tidak dengan orang separti dengannya. Maka, marilah berdebat dengan pihak parti lain. Saya sendiri bersedia menawarkan diri untuk berdebat dengan PM Najib," tambahnya.

Justeru jelas Mahfuz, isu yang berlaku sekarang bukanlah hal peribadi antara Najib dengan Tun Mahathir tetapi isu 1 MDB ini adalah isu wang rakyat yang perlu diperjelaskan dengan berani kepada masyarakat umum.

Terdahulu, Najib Razak memberi alasan enggan berdebat dengan Tun Mahathir kerana ingin menjaga nama baik kerajaan dan parti. – HARAKAHDAILY 12/6/2015

Share on Myspace