BNS bina kapal perang TLDM babit kos RM9 bilion

BERNAMA | .

LUMUT: Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) hari ini memulakan pembinaan enam buah kapal perang milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui projek 'Littoral Combat Ships' (LCS) membabitkan kos RM9 bilion.
    
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata projek LCS itu merupakan satu usaha kerajaan dalam meningkatkan sistem pertahanan maritim negara, selain mampu merangsang ekonomi terutama dalam industri pembinaan kapal.
    
"Jika kita lihat perkembangan geo-strategik di rantau Asia Timur dan lebih dekat lagi di Kepulauan Spratly, Malaysia tiada pilihan lain kecuali terpaksa meningkatkan keupayaan pertahanan maritim, perebutan kawasan maritim di Kepulauan Spratly yang semakin meningkat bakal menjadi satu punca perbalahan antara negara-negara di Asia Timur.
    
"Peningkatan keupayaan bala tentera Korea Utara dengan senjata balistik mereka juga tidak harus dipandang ringan oleh Malaysia.
      
"Maka, ini adalah satu pencapaian yang baik dalam negara kita kerana kita dapat menambah dan memiliki aset pertahanan dan yang penting sekali, kita mempunyai teknologi dan keupayaan pembinaan yang akan meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara pembina dalam bidang industri pertahanan," katanya.
    
Abdul Rahim berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kimpalan Ulung Projek LCS, di Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd di sini hari ini.
    
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd Laksamana Madya Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor.
    
Kapal LCS yang dibina itu mempunyai keupayaan peperangan pelbagai dimensi dengan mempunyai daya tahan lasak yang tinggi terutama ketika mengharungi keadaan laut yang melampau.
    
Antara ciri utama kapal tersebut ialah mempunyai kelajuan maksimum sehingga 28 knot dengan panjang keseluruhan kapal 111 meter serta dilengkapi beberapa senjata utama seperti sistem pelancar torpedo, sistem pelancar misil antipermukaan, sistem pelancar misil antiudara dan meriam kaliber sederhana bagi meningkatkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara.
    
Aktiviti pembinaan, integrasi dan ujian ke atas kapal LCS akan dilakukan sepenuhnya di Lumut, yang mana pembinaan akan dilakukan secara modular iaitu pembinaan kapal akan ditambahbaik dari setiap peringkat.
    
Kapal pertama yang dikenali sebagai First of Class Vessel dijangka diserahkan pada April 2019 yang mana kapal berikutnya selang setiap 10 bulan selepas itu.- BERNAMA

Share on Myspace