Cadang naikkan tol: Cukup-cukuplah susahkan rakyat

HARAKAHDAILY | .

CADANGAN kadar baharu tol yang dikatakan membabitkan 16 lebuh raya utama negara merupakan satu tamparan terkini untuk rakyat setelah disusuli pelbagai bebanan kewangan melibatkan kos sara diri dan percukaian. Sekalipun Perdana Menteri menyatakan bahawa ia hanya di peringkat perbincangan dan dibocorkan oleh pihak yang tidak beretika, namun ia sekaligus mengesahkan bahawa ada perbincangan serius ke arah menaikan kadar tol di pihak kerajaan.

Terbukti kerajaan gagal mencari penyelesaian terbaik untuk memuktamadkan isu konsesi lebuh raya ini dengan syarikat terbabit walaupun mencatat keuntungan mewah atas kadar tol yang dikenakan.

Setiap kali kajian atau semakan dilakukan ke atas konsesi, pengumumannya berakhir dengan kenaikan walaupun di saat rakyat terhimpit dengan pelbagai kos lain. Ini menunjukkan tahap keprihatinan sangat lemah kerajaan terhadap kepentingan rakyat. Akhirnya, kekal untung adalah syarikat pengendali lebuh raya tersebut yang diungguli oleh kroni politik kerajaan memerintah.

Dalam situasi realiti khususnya di Lembah Klang iaitu di mana terdapat kebanyakan lebuh raya terbabit, penggunaannya tidak dapat lagi dielakkan pada masa ini. Ia telah menjadi keperluan dalam urusan harian umum. Dalam masa yang sama, penambahan tinggi kenderaan menjadikan ia seolah-olah jalan raya utama di mana kesesakan lalu lintas di atas lebuh raya terbabit adalah pemandangan biasa.

Wajar diperingatkan, kenaikan tol akan mengakibatkan kenaikan harga barangan. Ia juga menjadi beban bulanan yang wajib bagi rakyat.

Tuntutan kami ialah kerajaan wajib segera merasionalisasikan konsesi tol demi kepentingan rakyat dengan mengambil alih lebuh raya tersebut, seterusnya menghala kepada penghapusan tol di situ. Kerajaan perlu juga memikirkan secara serius untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan awam sekaligus menjadi alternatif kepada penggunaan kenderaan persendirian bagi mengelakkan bebanan tol.

Kerajaan juga perlu segera memberi perhatian kepada jaringan jalan raya seluruh negara yang semakin sesak dengan kenderaan. Pelebaran jalan sedia ada serta dipertingkatkan aspek keselamatan dan pembentukan laluan baru, menjadi keperluan mendesak masa kini.

Peruntukan tambahan mesti segera diberi dan diutamakan sementelah kerajaan mengaut perolehan berbilion ringgit setiap bulan dari rakyat khususnya terbaru dari Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Jika benar kenaikan kadar tol ini berlaku seperti yang dihebohkan, Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan himpunan besar-besaran di beberapa lokasi bagi membantah satu lagi episod penderitaan yang akan menekan kehidupan rakyat ini.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

 - HARAKAHDAIL 13/6/2015

Share on Myspace