TV3 dan Proton, kenapa 3 hari berturut-turut?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sesiapa pun sukar mempercayai alasan TV3 bahawa tindakannya memainkan isu berkaitan kualiti kereta nasional Proton, tiada kaitan dengan suasana politik negara dan tidak ditujukan kepada mana-mana individu, baik secara langsung mahupun tidak langsung.

Bagi penulis Shahbudin Husin, tidak sukar memahami ia adalah serangan balas terhadap Tun Mahathir Mohamad yang kian hari kian memuncak mengkritik serta mendesak Datuk Seri Najib Razak agar meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, hujah yang diberikan oleh Editor Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, bahawa laporan itu hanya usaha TV3 mengenengahkan masalah rakyat dan pemandu teksi, benar-benar tidak dapat diterima akal.

Ini, katanya kerana stesen televisyen itu memainkan isu kereta Proton selama tiga malam berturut-turut, bukannya sekali siaran saja.

Beliau mengibaratkan, jika tiga hari berturut-turut seorang lelaki terziarah sebuah rumah yang diketahui ada gadis cantik di dalamnya, tentulah juga sukar dipercayai ia hanya kebetulan, tidak sengaja atau tersesat jalan, melainkan ada niat langsung untuk mengorat atau memikat gadis tersebut.

"Begitulah juga, dalam kes TV3 dan Proton ini, jika benar ingin mengenengah masalah rakyat, kenapa sampai tiga hari berturut-turut memainkan isu yang sama?

"Apakah masalah rakyat di negara ini hanya berkaitan Proton saja dan bukankah banyak isu lain yang lebih kronik lagi yang boleh diketengahkah oleh TV3?" tulis beliau dalam blognya.

Menurut Shahbudin lagi, jika mahu diketengahkan pelbagai masalah rakyat, di Parlimen Pekan yang diwakili Najib pun sebenarnya berlambak isu yang lebih menarik dan boleh meningkatkan rating penonton televisyen itu.

"Menjadi persoalan juga, apakah TV3 akan turut memainkan isu berkaitan kualiti Proton ini jika tidak berlaku kemelut politik antara Tun Mahathir dengan Najib?" tanya beliau lagi. - HARAKAHDAILY 13/6/2015

Share on Myspace