PAS, DAP tak perlu panaskan cuaca politik

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS dan DAP tidak perlu memanaskan cuaca politik antara kedua-dua parti itu, kata Ustaz Idris Ahmad.

"Jika media dijadikan medan penyelesaian, sampai bila pun tidak boleh selesai," ujar Naib Presiden PAS itu.

Menurutnya, ini kerana sememangnya kerja media untuk mensensasikan berita mereka.

"Kadang-kadang kita terperangkap dengan provokasi media untuk melaga-laga sesama sendiri. Jika kita mahu rakyat menolak BN, pemimpin mesti mempunyai jiwa besar," ujarnya lagi.

Justeru, tambah Ahli Parlimen Bukit Gantang itu lagi, semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan tindak balas sehingga menyakit hati antara kedua-dua belah pihak.

Ini, ujarnya kerana masing-masing ada pengikut yang akan tangkas bangkit mempertahankan parti masing-masing.

"Biarlah ia diselesaikan dengan baik dan teratur. Apa-apa keputusan kita terima dengan lapang dada, kerana perjalanan kita masih jauh dan mencabar.

"Pemain-pemain media sosial kita tidak boleh halang, kerana mereka panglima di alam maya yang tidak ada siapa pun yang akan dapat menghalang mereka," tambahnya. - HARAKAHDAILY 13/6/2015

Share on Myspace