Rakyat sudah tertekan kos sara hidup, tol pula naik?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Rata-rata lebuh raya bertol kini sesak seperti jalan biasa, terutamanya di musim cuti.

Asalnya, rakyat membayar tol bukan sekadar untuk menggunakan lebuh raya, tetapi juga untuk menjimatkan masa dan minyak kereta.

"Persoalannya, jikalau semua kebaikan menggunakan lebuh raya kini sudah semakin hilang nilai tambahnya, wajarkah harga tol terus dinaikkan?" tanya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tambahnya, tatkala rakyat tertekan dengan kenaikan kos sara hidup, harga minyak yang mahal, lebuh raya yang semakin sesak, kerajaan tergamak untuk berbincang cadangan untuk menaikkan harga tol dan bukan sebaliknya.

"Apakah ada syarikat konsesi tol yang sedang mengalami kerugian meskipun perniagaan ini mempunyai risiko kerugian menghampiri sifar?" tanya beliau lagi.

Jika ya, katanya sila nyatakan dan kerajaan wajib mengambil alih syarikat konsesi tersebut memandangkan majoriti saham kebanyakan syarikat konsesi tol dimiliki oleh GLC.

Beliau berkata, umum mengetahui syarikat konsesi tol mendapat keuntungan besar tahun ke tahun.

Oleh itu, ujar beliau adalah tidak wajar untuk kerajaan membincangkan kenaikan harga tol.

Katanya, kerajaan sepatutnya membincangkan apakah caranya untuk memaksa syarikat konsesi tol untuk menurunkan harga memandangkan jumlah kereta semakin bertambah dan lebuh raya yang sering sesak.

Sebagai langkah pertama, ujar beliau Perdana Menteri harus mendedahkan semua perjanjian lebuh raya dengan syarikat konsesi tol yang berada di bawah OSA.

Justeru, kata beliau kerajaan perlu menyemak kembali semua perjanjian konsesi serta cadangan kenaikan tarif tol memandangkan syarikat konsesi gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada pengguna tol.

Tambahnya, setiap kali perayaan atau cuti panjang, tol adalah punca utama kesesakan dan ia sangat membebankan pengguna, di samping kerosakan permukaan jalan hampir sepanjang masa. - HARAKAHDAILY 14/6/2015

Share on Myspace