GST: Adakah kerajaan lakukan kezaliman berganda?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sejak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015, kerajaan telah mengutip sejumlah lebih RM6 bilion (RM 3.36 bilion hasil CBP import manakala RM2.94 bilion hasil CBP domestik).

Jumlah tersebut terkumpul tidak sampai tiga bulan.

"Prinsipnya, PAS konsisten membantah pelaksanaan CBP kerana ia jelas mencengkam keringat rakyat tanpa mengira paras pendapatan individu mahupun isi rumah," ujar Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan.

Katanya, ia sangat berbeza dengan cukai pendapatan dan cukai korporat yang hanya melibatkan sebahagian kecil rakyat.

Persoalan pada hari ini, ujar beliau ialah bagaimana hasil kutipan lebih RM6 bilion atau keseluruhan hasil GST setahun akan dibelanjakan.

Katanya, sudahlah memerah keringat rakyat, apakah hasilnya pula mengulangi sikap kerajaan terhadap Petronas yang mana institusi minyak dan gas negara ini telah menyumbang sehingga 35% - 40% kepada kantung pendapatan kerajaan.

Menurutnya, rekod menunjukkan kerajaan memperoleh peningkatan hasil setiap tahun, namun pada masa yang sama berlaku lebih banyak ketirisan, pemborosan dan peningkatan hutang fiskal sebagaimana yang saban tahun dilaporkan oleh Audit Negara.

"Apakah nantinya, kerajaan melakukan kezaliman berganda. Zalim pada memungut hasil dan zalim pula pada hasil yang dipungut?" tanya beliau. - HARAKAHDAILY 14/6/2015

Share on Myspace