Adenan Satem akan terus perjuang 20% royalti minyak

BERNAMA | .

BAU: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata kerajaan negeri akan terus berusaha untuk mendapatkan 20 peratus royalti minyak daripada kerajaan persekutuan.

"Kami mahu 20 peratus dan bukan 5 peratus (seperti sekarang). Kami masih belum berjaya mendapatkan 20 peratus itu tetapi kami akan dapatkannya," katanya.

Beliau berkata setakat ini, kerajaan negeri telah berjaya meyakinkan Petronas untuk memberikan kontrak bernilai RM2.1 bilion kepada syarikat-syarikat Sarawak.

Adenan berkata usaha juga sedang dilakukan untuk membangunkan Sarawak agar setara dengan kemajuan negeri-negeri lain di Semenanjung.

"Kita (Sarawak) masih ketinggalan berbanding negeri-negeri di Semenanjung. Anda yang pernah pergi ke Kuala Lumpur dan negeri-negeri di Semenanjung, anda dapat lihat betapa majunya mereka berbanding dengan kita," katanya dalam ucapan pada Karnival Gawai Tahunan Ke-10 Pertubuhan Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (Redeems) di Pusat Redeems di sini Sabtu malam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isterinya.

Menyentuh tentang kebebasan beragama, Adenan berkata penganut Kristian di negeri ini boleh menggunakan kalimah Allah.

"Anda boleh guna kalimah Allah pada bila-bila masa kerana ia memang dibenarkan di Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, Adenan menggesa rakyat untuk memberikannya satu penggal (lima tahun) lagi untuk beliau menerajui pentadbiran negeri ini.

"Semua tahu apa yang telah saya lakukan dalam tempoh setahun ini tetapi satu tahun tidak cukup untuk saya melakukan lebih banyak lagi untuk Sarawak. Jadi saya perlukan lima tahun lagi dan anda boleh bayangkan apa yang saya dapat lakukan," katanya.

Pada majlis itu, Adenan turut mengumumkan peruntukan RM2 juta daripada kerajaan negeri bagi pembinaan Pusat Redeems. Redeems telah memperoleh RM4 juta daripada kerajaan persekutuan bagi projek itu.

Sementara itu, Presiden Redeems Datuk Peter Nansian Ngusie berkata rakyat Sarawak berpuas hati dengan kepimpinan Adenan susulan kejayaan beliau dalam menyelesaikan beberapa isu dihadapi negeri ini.

Ini termasuk membanteras kegiatan pembalakan haram, memansuhkan tol, mendesak 20 peratus royalti minyak serta dasar pembangunan luar bandar beliau yang telah membantu meringankan beban rakyat, katanya. - Bernama

Share on Myspace