Selepas rakyat dihambat GST, tol pula akan naik

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan tegas membantah cadangan kenaikan kadar tol dan ia disifatkan sangat melampau.

Naib ketuanya, Khairil Nizam Khirudin menyatakan demikian merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian semalam berhubung Kementerian Kerja Raya akan membawa cadangan kenaikan kadar tol bagi 16 lebuh raya utama di seluruh negara.

Kenaikan tersebut dijangka akan naik antara 20 sen sehingga RM1 dan ia akan mula berkuatkuasa Ogos ini.

"Kami juga meminta supaya pihak kerajaan berunding semula dengan pihak konsesi bagi mengelakkan pembayaran pampasan membabitkan ratusan juta sekiranya penangguhan kenaikan kadar tersebut dilakukan pada tahun ini," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia akan berusaha melakukan pelbagai usaha antaranya berunding dengan pihak Kementerian Kerja Raya, pihak konsesi dan juga menggerakkan bantahan rakyat sekiranya cadangan kenaikan ini diterima oleh kerajaan.

Difahamkan, ujarnya kenaikan tersebut sepatutnya berlaku pada November tahun lalu, namun ia telah ditangguhkan.

Contoh cadangan kenaikan kadar tol bagi beberapa lebuh raya utama di Lembah Klang adalah seperti berikut:

a. Cadangan kenaikan kadar tol bagi Lebuhraya Besraya adalah sebanyak 70 sen (dari RM1.30 kepada RM2.00).

b. Cadangan kenaikan kadar tol bagi Lebuhraya Pantai Baharu adalah sebanyak 60 sen (dari RM1.60 kepada RM2.20).

c. Cadangan kenaikan kadar tol bagi Lebuhraya Duta - Ulu Kelang adalah sebanyak 50 sen (dari RM2.00 kepada RM2.50)

Kata beliau lagi, kerajaan sewajarnya mengambil kira keuntungan yang diraih oleh pihak konsesi dan keadaan semasa sosioekonomi rakyat sebelum mencadangkan apa-apa kenaikan kadar tol.

Rakyat kini sudah dihambat dengan kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6% bermula 1 April yang lalu dan kenaikan petrol dan diesel sejak 1 Jun. - HARAKAHDAILY 14/6/2015

Share on Myspace