PAS T'ganu usaha realisasi hasrat ke Wisma Darul Iman

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat mengucapkan tahniah kepada para perwakilan Muktamar Tahunan PAS Ke-61 yang telah berjaya melaksanakan amanah memilih dan memberi mandat kepada saf kepimpinan baharu.

"Saya yakin insya Allah, atas saf tersebut akan dapat melonjakkan lagi peranan PAS sebagai parti politik di negeri Terengganu dan di peringkat nasional serta di bawah kepimpinan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia, PAS akan dapat bergerak cergas di peringkat antarabangsa sebagai sebuah gerakan Islam," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih atas kepercayaan kepimpinan PAS Pusat khususnya kepada presiden yang memilihnya sekali lagi sebagai pesuruhjaya PAS negeri.

"Insya Allah, perbincangan akan dibuat segera dengan kepimpinan peringkat negeri Terengganu bagi melantik mereka yang layak untuk memikul amanah berkhidmat kepada rakyat negeri Terengganu, untuk sesi 2015-2017.

"Saf kepimpinan PAS negeri Terengganu yang akan dilantik nanti, insya Allah terdiri daripada mereka yang akan bekerja secara kolektif (jama’ei) bukan secara individu, yang akan dapat merealisasikan hasrat PAS Terengganu untuk kembali ke Wisma Darul Iman bagi melaksanakan amanah menegakkan kerajaan yang melaksanakan syariah Allah SWT," ujarnya lagi.

Adun Paka itu turut mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat pemimpin PAS negeri yang telah memberikan sokongan dan harapan agar dapat terus memberikan kerjasama dengan ‘Istiqamah Hingga Mencapai Kemenangan’.

"Semoga kita semua, ahli dan penyokong PAS di negeri Terengganu khususnya dapat memberikan komitmen; masa, tenaga dan wang ringgit, bagi merancakkan lagi usaha dan kerja kita semua untuk menobatkan Islam yang memerintah dan PAS menjadi ‘Harapan Untuk Semua’ dalam melaksanakan ‘roadmap’ kita ke Wisma Darul Iman pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-14 akan datang," katanya.

Beliau berharap semua saf; kepimpinan, ahli dan penyokong serta badan-badan dan agensi dalam PAS Terengganu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat melaksanakan ‘gerak serentak’ bersatu ke arah mencapai cita-cita bersama. - HARAKAHDAILY 14/6/2015

Share on Myspace