FGV: Apabila sang harimau menjaga kambing

AHMAD FADHLI SHAARI | .

Pada 31 Mei 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan dengan yakin bahawa penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) Holdings di Bursa Saham Malaysia adalah satu detik paling bersejarah dalam industri komoditi negara di mana ia akan memberi keutamaan kepada para peneroka serta pekerja-pekerja Felda bagi tujuan pemilikan saham syarikat konglomerat itu.

Bahkan kata Najib lagi, “...prestasi saham FGVH ini lebih baik daripada Facebook.” Cadangan ini disambut oleh seluruh menteri kabinet pada masa tersebut sebagai satu langkah yang sangat bijak dan tepat. Ia didahului dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada masa itu Datuk Ahmad Maslan yang memberitahu persidangan Dewan Negara pada 23 April 2012 bahawa inisiatif tersebut dianggap sebagai langkah tepat memandangkan harga komoditi sawit ketika ini berada pada paras tinggi.

Justeru pada 28 Jun 2012, Najib sekali lagi menegaskan bahawa kejayaan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) di Bursa Malaysia pada tarikh tersebut adalah bukti dasar kerajaan sentiasa dilakukan dengan teliti, berprinsip dan terancang.

Hari ini, mimpi-mimpi manis yang disemai oleh Perdana Menteri telah bertukar menjadi igauan negeri. Janji kepada lebih 100,000 peneroka di seluruh negara untuk menikmati keuntungan hasil pelaburan FGV yang lebih hebat dari Facebook hanya tinggal janji sahaja. Pakcik dan makcik di kampung-kampung yang mungkin tiada pun akaun facebook terpaksa terus menelan hakikat bahawa harta mereka dirampas atas nama pelaburan oleh kerajaan UMNO/Barisan Nasional.

Saham Felda Global Ventures (FGV) kini hanya bernilai RM1.86 berbanding RM4.55 semasa disenaraikan pada 28 Jun 2012 dan melonjak naik kepada RM5.39 pada hari pertama ia diniagakan. Modal pasaran FGV pula telah jatuh sebanyak 65% kepada RM7.19 bilion daripada RM 20 bilion pada hari-hari awal penyenaraiannya, sementara harga sahamnya yang kini diniagakan pada RM1.86 seunit hakikatnya telah menurun sebanyak 59% – jauh berbeza dari harga IPO sebanyak RM4.55 seunit saham.

Daripada saham yang lebih hebat daripada Facebook, kini FGVH dikeluarkan dari senarai 30 syarikat utama Bursa Malaysia kerana harga sahamnya menjunam dan keuntungan yang ketara berkurangan bagi suku pertama tahun ini. Bertambah lagi buruk imej FGV apabila secara rasminya transaksi sahamnya digantung tiga hari lepas (http://www.theedgemarkets.com/…/trading-fgv-shares-suspende…).

Di atas kertas, peneroka yang telah berhutang sebagai bayaran untuk mendapatkan anugerah 800 unit saham pada awal FGV disenaraikan hari ini telah menanggung kerugian berlipat kali ganda.

Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia, kita yakin bahawa kerugian FGVH ini bukan hanya sekadar dipengaruhi oleh penurunan harga komoditi sawit, tetapi turut juga didorong oleh beberapa faktor utama terutama soal pengurusan dan pentadbiran. Antaranya ialah:

1. Imej Pengerusi FGV sendiri yang pernah terpalit dengan politik wang dan dihukum oleh UMNO sendiri menyebabkan krisis keyakinan di kalangan pelabur untuk terus memberikan kepercayaan kepada FGV. Memberikan peluang kepada individu seperti ini menjaga harta para peneroka samalah seperti memberikan kepercayaan kepada sang harimau untuk menjaga sekawan kambing.

2. Pergantungan yang begitu ketara dengan harga komoditi sawit. Sewajarnya isu ini termasuk di dalam pelan jangka panjang sebelum kerajaan membuat keputusan untuk menyenaraikan FGV di Bursa Saham. Hari ini, kerajaan sewenang-wenangnya menyalahkan penurunan harga minyak sawit mentah (CPO) yang tidak menentu sebagai faktor penurunan harga saham FGV. Sedangkan hakikat sebenarnya penurunan harga CPO ini tidaklah seteruk yang diberitakan. Pada 28 Jun 2012 sewaktu FGV mula disenaraikan, CPO mencatatkan angka RM2,977 satu tan dan hari ini ditutup pada 11 Jun 2015 dengan harga RM2,287 satu tan. Ia lebih baik berbanding prestasi tahun lepas yang menjunam sehingga RM1,929 setan pada 29 Ogos 2014. Persoalannya, dalam situasi harga minyak sawit mentah kelihatan bertambah baik sekalipun, saham FGV terus menjunam, adakah benar-benar ia berkadar langsung atau hanya momokan pimpinan UMNO untuk mencari alasan? (http://www.mpob.gov.my/smndimple/mpob_chart.php)

3. Pelaburan yang penuh misteri serta urusniaga yang boleh dipersoalkan juga menjadi faktor para pelabur kurang menaruh keyakinan terhadap FGVH. Misalnya terkini apabila Berita Harian pada 12 Jun 2015 melaporkan bahwa Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) membeli 37 peratus ekuiti syarikat ladang Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) daripada Kumpulan Rajawali pada pertimbangan AS$680 juta (RM2.55 bilion). FGV juga bercadang mengambilalih antara 93.3 peratus hingga 95 peratus kepentingan dalam projek gula Rajawali Group dianggarkan bernilai AS$67 juta (RM251.5 juta) secara tunai. Khabar angin bertiup kencang menyatakan bahawa harga yang dibayar oleh FGV sangat tinggi berbanding nilai pasaran saham EHP. FGV membayar hampir sekali ganda nilai saham EHP di Bursa Saham Indonesia (ISX). FGV membayar 800 rupiah sesaham sedang harga EHP di pasaran hanya sekitar 400 rupiah. Secara logiknya, FGV wajar membeli saham-saham EHP dengan harga diskaun berikutan sektor perladangan kini dalam suasana lembap. Fakta menunjukkan bukan semua tanah milik EHP sudah mengeluarkan hasil. Daripada pegangan seluas 419,006 hektar, hanya 147,298 hektar ditanam. Bakinya masih hutan belantara. (http://www.stockhut.com.my/news/44593) Adakah wujudnya rundingan di belakang tabir dan kira-kira di bawah tangga antara penguasa FGVH dengan EHP? Sekiranya benar khabar angin yang bertiup bahawa harga yang dibeli oleh FGVH lebih tinggi dari pasaran sebenar, ia hakikatnya merupakan satu lagi tragedi besar kepada negara.

4. Ini belum dikira faktor-faktor lain yang turut mendorong kepada ketidakyakinan pelabur terhadap FGVH terutamanya campur tangan politik terhadap urustadbir FGVH memandangkan kedudukannya yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri. Begitu juga dengan imej korporat pengurusan FGVH yang terkenal tidak professional berbanding syarikat perladangan yang lain seperti IOI Group, Boustead Plantations Bhd, KLK Berhad dan lain-lain gergasi di bidang perladangan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia menuntut agar kerajaan bertaggungjawab sepenuhnya terhadap kerugian yang sedang dialami oleh FGVH ini. Langkah segera pemulihan FGVH perlu diambil termasuklah menukar barisan pengurusan dan pentadbiran tertinggi yang terbukti tidak mampu mentadbir syarikat perladangan tersebut.

Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan, jangan sampai FGVH menjadi kain buruk yang tidak bernilai di ampaian, dipakai tidak elok, dibuang sayang. Setiap titik peluh peneroka yang tumpah untuk membangunkan ladang FELDA pastinya tidak akan disia-siakan. Jika situasi kerugian dan pengurusan yang bermasalah ini berkekalan, kerajaan Umno Barisan Nasional wajar menghadapi kebangkitan besar-besaran rakyat membela nasib peneroka yang ditipu hidup-hidup di bawah slogan Rakyat Didahulukan. - HARAKAHDAILY 14/6/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace