Apabila keputusan muktamar PAS diputar belit

HARAKAHDAILY | .

 

Semalam FB Dewan Ulamak PAS Pusat telah memuatkan usul mereka pada Muktamar PAS yang baru lalu.

Tujuannya adalah untuk merungkai kekeliruan yang timbul akibat usul tersebut.

Para akhir usul tersebut menyebut:

"Maka Muktamar Dewan Ulamak PAS kali ke 54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat".

Inilah usul Dewan Ulamak.

Ia tidak menuntut muktamar memutuskan hubungan tetapi mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Pusat untuk membuat keputusan tersebut.

Itulah keputusan muktamar, agar dibawa ke Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Pusat.

Keputusan pula belum dibuat.

Tetapi ada pihak yang mengambil keputusan untuk membakul sampah keputusan muktamar itu dengan mengumumkan perkara yang tidak diputuskan oleh muktamar.

Mereka mengatakan Muktamar telah memutuskan hubungan dan berhujjah bahawa keputusan Muktamar perlu dipatuhi.

Ada yang menghuraikan dengan panjang lebar tentang Perlembagaan PAS tetapi usul yang mereka fahami adalah bukan usul yang diluluskan oleh muktamar.

Saya tidak tahu kenapa keputusan muktamar diputarbelit begitu rupa.

Kita perlu maafkan mereka jika mereka benar-benar tidak faham atau tidak jelas.

Saya berharap usul asal Dewan Ulamak yang dimuatkan ke FB mereka akan dapat menjelaskan perkara ini.

Hormatilah keputusan perwakilan muktamar. - HARAKAHDAILY 14/6/2015

DATUK ISKANDAR A SAMAD

Naib Presiden PAS

Share on Myspace