RMK11: Mampukah Malaysia capai negara maju?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menyediakan tenaga pakar berkemahiran tinggi bagi mencapai status negara maju seperti mana yang disebut dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang lalu.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan berkata, Penubuhan Talent Corporation (TalentCorp) pada Januari 2011 adalah dengan harapan melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi untuk bekerja di Malaysia.

Katanya, ia adalah susulan daripada Program Pakar (Returning Expert Program – REP) yang ditubuhkan atas tujuan yang sama sebelum dipindahkan bidang kuasa tersebut kepada TalentCorp.

Namun, ujar beliau jumlah pekerja berkemahiran tinggi di Malaysia ketika ini hanyalah 2.8 peratus berbanding 3.1 peratus sasaran pada 2015.

"Ia menunjukkan pekerja berkemahiran tinggi di Malaysia masih rendah dan tidak mencapai status yang sepatutnya," katanya.

Beliau menambah, mengikut data yang disebutkan oleh Menteri Pendidikan di Parlimen, Rabu lalu jelas menunjukkan para pelajar yang menyambung di luar negara dan juga para profesional Malaysia yang bekerja di sana merupakan talent pool yang harus diberi perhatian.

Namun persoalannya, ujar beliau strategi yang dilaksanakan TalentCorp dilihat tidak berkesan dan berjaya untuk menyediakan ruang kerja berkemahiran tinggi yang semakin kompetitif dalam menghadapi cabaran semasa hari ini serta menggalakkan pekerja berkemahiran tinggi pulang dan bekerja di Malaysia ke arah membangunkan negara menuju cita-cita negara maju. - HARAKAHDAILY 15/6/2015

Share on Myspace