Anak Presiden Muslim Care johan hafazan antarabangsa

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Tahniah kepada Presiden Muslim Care Malaysia di atas kejayaan puteri beliau yang mewakili Malaysia menjadi juara Tilawah Hafazan Al-Quran Antarabangsa.

"Kami warga Muslim Care Malaysia menumpang gembira dengan kejayaan ini. Semoga Allah memberkatinya," demikian kenyataan Muslim Care Malaysia Society menerusi facebook.

Farihah Zulkifli yang mendapat markah 89.5 peratus muncul juara kategori hafizah sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-57 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra yang berakhir malam tadi.
.
Peserta Qatar, Abdul Aziz Abdullah Ali Al-Hamri dinobatkan sebagai johan hafiz bagi kategori hafazan yang diperkenalkan mulai tahun lepas.

Anggota Muslim Care Malaysia, Dr Riduan Mohammad Nor turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan Farihah itu.

"Relawan kami yang juga anak Presiden Muslim Care telah menjuarai pertandingan hafazan peringkat antarabangsa, Farihah Zulkifli," tulisnya menerusi facebook.

Tambahnya, seluruh warga Muslim Care merasa bahagia dan mengucapkan selamat maju jaya buat Farihah yang pernah mengikuti misi ke Jepun.

"Jom anak muda, sertai kami!" ujarnya.

Dalam pada itu, qari negara, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah mendapat tempat kedua di belakang qari Iran, Mohsen Hassani Kargar yang muncul johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57.

Qariah Malaysia, Siti Husnaa Hassan pula mendapat tempat ketiga di belakang qariah Indonesia, Asrina Asril Buyong (johan) dan qariah Filipina, Rahima Panondionga Amerol (naib).

Hadiah dan cenderahati kepada semua pemenang, peserta dan hakim disampaikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. - HARAKAHDAILY 15/5/2015

Share on Myspace