Mazlan Aliman letak jawatan AJK PAS Pusat

HAZAYANI ZAKARIA | .

KUALA LUMPUR: Mazlan Aliman mengumumkan perletakan jawatan sebagai ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat  berkuatkuasa hari ini.

Beliau akan memberikan lebih tumpuan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang diketuainya iaitu Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Selain itu, beliau yang juga penasihat kepada beberapa NGO lain antaranya Badan Prihatin Orang Asal (Batin), Pertubuhan Kebajikan Anak Penoreh Getah (Petah) dan Pertubuhan Kampung Tradisi dan Warisan Bangsa Malaysia (Anak Warisan) mahu memberi tumpuan kepada NGO-NGO tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau tetap bersama PAS sebagai ahli biasa.

“Saya tetap bersama PAS walaupun sebagai ahli biasa dan akan terus memberikan sumbangan dalam perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran.

“Saya ingin memanfaaatkan masa dan ruang untuk mengambil inisiatif menggabungkan NGO-NGO bagi menangani isu-isu kritikal seperti FGV, GST, kos sara hidup rakyat dan lain-lain dengan mekanisme yang berkenaan,” kata beliau pada siding media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Beliau mengakui keputusan yang diambil itu sangat sukar dan menyedihkan.

“Saya amat menghargai kepercayaan yang telah diberikan oleh para perwakilan dalam pemilihan di Muktamar PAS Kali Ke-61 baru-baru ini.

Meskipun mengakui beliau kecewa dengan perkembangan PAS sekarang, namun beliau menafikan perletakan jawatannya kerana kehilangan rakan-rakan yang kalah dalam pemilihan.

“Suka saya naksebut di sini ia bukan soal saya kehilangan rakan-rakan yang kalah dalam pemilihan.

“Sama ada mereka yang kalah atau menang, mereka ialah rakan saya,” tegasnya.

Beliau menang bagi jawatan AJK PAS Pusat dengan mendapat 593 undi. - HARAKAHDAILY 15/6/2015

Share on Myspace